Lapan Warga Iran Didakwa Miliki Dadah Di KLIA dan Tandas Hospital

Diterbitkan: Rabu, 26 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Lapan lelaki warganegara Iran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memiliki dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan di tandas sebuah hospital, pada Februari lepas. Pertuduhan ke atas mereka dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Parsi.

Mengikut pertuduhan, Masoud Gholizadeh Alineder, 40, didakwa memiliki empat bungkusan berisi dadah jenis Methaphetamine seberat 4,000 gram dan Bahram Nikkhougabram, 51, didakwa memiliki dadah jenis syabu seberat 2,000 gram.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Coursel C, Aras 3, Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Utama, KLIA, antara pukul 9.40 dan 10 pagi pada 9 Februari lepas.

Enam warga Iran yang lain, Hossein Shakeri, 37, Mahdi Afrasiabi, 26, Arshad Mohammad Senjedeh, 28, Syed Bahman Asighannamini Seyeddrasoul, 33, Ali Fareydoni Mohamad Sadegh, 23, dan Mohammad Hossan Sharifniay, 26, pula didakwa memiliki dadah jenis syabu masing-masing seberat 126 gram, 473 gram, 676 gram, 546 gram, 619.5 gram dan 198.5gram. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tandas Hospital Serdang, antara 3 dan 5 Februari lepas. Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibacakan bersama Seksyen 39 A (2) Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum seumur hidup dan 10 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Slamat Yahya menetapkan 30 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Suhada Alwi sementara kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan