Bekas Penolong Pegawai Belia Dan Sukan Didenda RM22,000 Terima Rasuah

Diterbitkan: Rabu, 26 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang bekas penolong pegawai di Kementerian Belia dan Sukan dikenakan denda berjumlah RM22,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan menerima RM10,000 daripada wakil pembekal syarikat pengiklanan dua tahun lepas.

Hakim Mat Ghani Abdullah turut memerintahkan tertuduh, Mohd Sufian Sulaiman, 30, yang berasal dari Hulu Langat, Selangor, dipenjara 22 bulan sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Bagi tuduhan pertama, Mohd Sufian dikenakan denda RM7,000 atau penjara tujuh bulan kerana menerima wang tunai RM3,000 melalui akaun Maybank milik rakannya, Azlin Kamsah, daripada Lai Kon Ching, wakil pembekal bagi tiga syarikat pengiklanan Syarikat Effithree (M) Sdn Bhd, Semarak Manufacturing dan Teguh Ventures, walaupun tertuduh mengetahui perbuatan itu ada kaitan dengan tugas rasminya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Pandan Indah, Menara Maxisegar, Jalan Pandan Indah 4/2, pada 5.43 petang pada 18 Februari 2008.

Bagi tuduhan kedua, Mohd Sufian dikenakan denda RM9,000 atau penjara sembilan bulan kerana menerima wang tunai RM4,000 daripada Lai, pada 4.42 petang 20 Februari 2008 di tempat yang sama.

Bagi tuduhan ketiga, tertuduh dikenakan denda RM6,000 atau penjara enam bulan kerana menerima wang tunai RM3,000 daripada Lai di DBG 05, Blok Delima B, Pangsapuri Baiduri, Taman Desa Baiduri, Cheras, pada 1 Februari 2008.

Fakta kes menyebut, pada 25 Januari 2008, Bahagian Pembangunan Sukan, Kementerian Belia dan Sukan telah meluluskan tiga projek cetakan semula poster kepada Effithree, Semarak Manufacturing dan Teguh Ventures berjumlah RM45,350.

Ketiga-tiga projek itu berjaya diperoleh atas usaha Lai yang bertindak sebagai wakil bagi ketiga-tiga syarikat itu setelah berjumpa dengan tertuduh.

Dalam perjumpaan antara Lai dan Mohd Sufian, tertuduh telah meminta Lai menggunakan syarikat Taikom Enterprise milik isteri tertuduh (kini bekas isteri) sebagai syarikat perunding bagi teknik rekaan.

Atas permintaan tertuduh, Lai bersetuju membayar RM10,000 kepadanya kononnya sebagai bayaran rundingan walaupun tiada khidmat konsultan telah diberikan kepada Lai kecuali beberapa keping gambar untuk poster sebut harga tersebut.

Pada 1 Februari 2008, Lai telah berjumpa dengan Mohd Sufian di rumah tertuduh di mana isteri tertuduh turut berada dan Lai telah menyerahkan wang tunai RM3,000 kepada tertuduh. Pada pertengahan Februari 2008, Lai telah dihubungi oleh Azlin yang meminta baki RM7,000.

Lai kemudian memasukkan wang tunai RM3,000 pada 18 Februari 2008 dan RM4,000 pada 20 Februari 2008 ke dalam akaun milik Azlin menggunakan mesin ATM Maybank cawangan Pandan Indah. Azlin telah mengeluarkan kesemua RM7,000 yang dimasukkan oleh Lai ke dalam akaunnya dan menyerahkan sebanyak RM6,500 kepada tertuduh manakala baki RM500 di tangannya telah disita oleh Badan Pencegah Rasuah pada 5 Mei 2008.

Terdahulu, semasa merayu untuk hukuman ringan, peguam Hasnan Hamzah yang mewakili Mohd Sufian, berkata anak guamnya cuba membantu majikannya dengan membeli poster tetapi mengakui anak guamnya terlepas pandang bahawa dia sebagai seorang penjawat awam telah melakukan pelanggaran undang-undang dalam pejabatnya sendiri.

"Ini adalah kesalahan pertama dan terakhir tertuduh. Sebagai seorang Muslim tertuduh tidak akan biarkan dirinya dipatuk oleh ular yang sama di lubang yang sama. Tiada perbuatan yang dapat gambarkan penyesalan dan betapa besar malu yang dihadapi oleh keluarganya.

"Tertuduh telah hilang segalanya, kerjaya, reputasi, harga diri dan rumah tangga di mana dia telah bercerai dengan isterinya yang merupakan pengadu dalam kes ini. Diharapkan hukuman yang dijatuhkan tidak akan merumitkan lagi keadaan tertuduh," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Asnawi Abu Hanipah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana walaupun kesalahan tertuduh bukan kesalahan rasuah yang jelas tetapi masyarakat mempunyai tanggapan bahawa penjawat awam boleh dibeli oleh rasuah. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan