'Perogol Bersiri' Dihukum 50 Tahun Penjara, 24 Sebatan

Diterbitkan: Rabu, 19 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Seorang peniaga kecil yang digelar "perogol bersiri" oleh polis dihukum penjara 50 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari selepas mengaku bersalah terhadap 15 tuduhan iaitu enam kes rogol, dua kes percubaan merogol, satu kes seks luar tabii dan enam tuduhan merompak sejak Mei 2007 sehingga November tahun lepas.

Rashidi Omar,29, dari Durian Tunggal dekat sini, mengaku bersalah di hadapan Hakim Zaharah Hussain setelah dibacakan pertuduhan dan fakta kes dalam prosiding mahkamah yang berlangsung dari pagi sehingga keputusan hakim dibacakan kira-kira 5 petang.

Pendakwaan kes yang dikendalikan dua Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin dan Haslida Ismail telah menarik perhatian orang ramai yang memenuhi semua tempat duduk dalam mahkamah.

Mengikut fakta kes, kesalahan pertama dilakukan Rashidi ialah merogol seorang kanak-kanak berusia 7 tahun 10 bulan pada 24 Mei 2007 di Ladang Kelapa Sawit Hailam Estate di Jasin dan kesalahan terakhir pada 21 November 2009 sebelum ditangkap polis pada 1 Disember 2009.

Bagi kes rogol, Rashidi yang memberitahu mahkamah pekerjaan terakhirnya sebagai penjual putu piring di sebuah pasar raya di Jalan Bachang di sini, secara keseluruhannya melakukan satu kes pada 2007, dua kes pada 2008 dan enam kes sepanjang tahun lepas.

Bagi pertuduhan kes rogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan manakala bagi pertuduhan merompak mengikut Seksyen 392 kanun yang sama yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan denda.

Antara pertuduhan dihadapi Rashidi ialah merogol remaja berusia 15 tahun 11 bulan di Ladang Kelapa Sawit Hainan Estate, Cheng pada 1 April, 2008 dan merogol seorang gadis berumur 19 tahun dan merompak telefon bimbit Nokia N-Gage milik mangsa di kebun kelapa sawit belakang perumahan Taman Seri Sutera, Alor Gajah pada 31 Mac 2008.

Dia juga dituduh merogol seorang wanita berusia 44 tahun di Ladang Kelapa Sawit Tong Bee, Jalan Kolam, Machap, Alor Gajah serta merompak komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai mangsa sebanyak RM200 pada 7 Jun 2009.

Pada 7 Oktober 2009, dia dituduh merogol seorang wanita berusia 35 tahun dan melakukan seks luar tabii iaitu memasukkan zakarnya ke dalam mulut mangsa di sebuah butik di Tanjung Minyak.

Bagi kesemua kes, Rashidi telah menggunakan motosikal dan memperdaya mangsa untuk mengikut beliau ke suatu tempat yang sunyi sebelum merogol dan merompak mangsa dengan mengacukan pisau kecil ke atas mangsa. Ketika diberi peluang untuk merayu kepada mahkamah sebelum dijatuhi hukuman, Rashidi berkata, dia telah menginsafi perbuatannya dan meminta maaf kepada semua mangsa.

"Saya sepatutnya menjadi contoh kepada kedua-dua adik saya tetapi apa yang saya lakukan adalah sebaliknya," katanya. Hakim Zaharah menasihatinya supaya mengotakan kata-katanya bahawa telah benar-benar insaf. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan