Hajat Chitrakala Bercuti Ke India Gagal

Diterbitkan: Rabu, 19 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Hasrat bekas ketua pegawai eksekutif Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) P. Chitirakala untuk bercuti ke India hari ini tidak kesampaian apabila pihak Jabatan Imigresan tidak membenarkannya berlepas.

Chitirakala, yang menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah dan menipu menggunakan tiga keping cek MIED bernilai RM4 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 11 Mei lepas, sepatutnya berlepas ke India dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines pada pukul 6.50 petang tadi.

Chitirakala, 39, memberitahu sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa KL bahawa beliau telah "check-in" pada pukul 4 petang dan semasa menunggu penerbangannya berlepas di Dewan Menunggu, beliau telah dihampiri oleh seorang pegawai Imigresen yang menyuruhnya mengikut beliau ke pejabat Imigresen.

Selepas menunggu hampir dua jam di pejabat Imigresen, pegawai itu memaklumkan yang seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bernama Fikri tidak membenarkannya ke luar negara tanpa memberi sebab.

"Saya (sebelum ini) telah menghubungi Fikri (Pegawai SPRM) bagi meminta nasihat beliau berhubung perjalanan saya ke luar negara, dan diminta supaya menghubungi mereka seminggu sebelum tarikh perjalanan," katanya dan menambah beliau telah pun mendapat kelulusan daripada SPRM untuk ke luar negara.

"Mahkamah (Hakim Azizah Mahamud) telah membenarkan saya untuk membuat perjalanan (domestik dan antarabangsa), malah Pegawai Pendakwa Raya (Kevin Morais) juga telah memberi kebenaran tapi mengapa sekarang saya dihalang daripada melakukan perjalanan ini," katanya.

Chithirakala, yang bebas dengan jaminan RM30,000, mendakwa seorang pemimpin parti politik telah menyebabkan perjalanannya ke India terhalang hari ini.

Kes beliau akan disebut semula pada 14 Jun ini.

Sementara itu, SPRM dan Jabatan Imigresen gagal dihubungi untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan