Empat Anggota Polis Didakwa Di Mahkamah Kerana Rasuah

Diterbitkan: Rabu, 19 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Empat anggota polis berpangkat lans koperal dan konstabel dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana tuduhan meminta, menerima dan bersetuju menerima rasuah daripada seorang pegawai bank yang dikatakan berkelakuan tidak senonoh dengan pasangannya di tempat awam pada tahun lepas.

Lans Koperal Mohammad Faizatulakma Shamsuddin, 26, Lans Koperal Mohd Zuraidi Abu Jasam, 25, Lans Koperal Nor Haffizo Mat Hasan, 25 dan Konstabel Zulkifli Jaafar, 27, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Mohammad Faizatulakma dan Mohd Zuraidi dari Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya didakwa meminta suapan RM1,400 daripada Iduan Ariffin, 27, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap beliau dan pasangannya, Badiatul Adawaiayh Md Zubir Ali yang dikatakan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan 11/9 Petaling Jaya, pada pukul 11 malam, 15 Februari tahun lepas.

Bagi pertuduhan kedua, Mohammad Faizatulakma, Mohd Zuraidi dan Nor Haffizo didakwa memperoleh suapan RM800 daripada Iduan sebagai dorongan untuk melakukan perkara yang sama pada pukul 8.53 malam, 16 Februari tahun lepas, di tempat yang sama.

Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Azhaniz Teh membenarkan kesemua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM3,500 setiap seorang dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan perbicaraan bermula pada 11 Oktober depan.

Sementara itu, di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah, Mohammad Faizatulakma dan Zulkifli didakwa bersetuju menerima suapan RM600 daripada Iduan sebagai dorongan untuk melakukan perkara yang sama di kawasan berhampiran Bank RHB, Jalan SS2/55, Seapark, Petaling Jaya, pada pukul 2 pagi, 16 Februari tahun lepas.

Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Mat Ghani membenarkan Zulkifli dibebaskan dengan jaminan RM3,500 serta seorang penjamin sementara Mohammad Faizatulakma dibebaskan tanpa bon jaminan selepas mengguna pakai ikat jamin RM7,000 yang dikenakan oleh Hakim Azhaniz Teh.

Hakim itu turut membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ng Siew Wee agar kes Mohammad Faizatulakma dan Zulkifli dipindahkan dan didengar di hadapan Hakim Azhaniz Teh.

Kesemua tertuduh diwakili peguam Narziah Nazrin. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan