Penjual Air Dipenjara Dua Minggu

Diterbitkan: Isnin, 17 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang penjual air dikenakan hukuman penjara dua minggu dan denda RM10,000 atau penjara dua minggu lagi, jika gagal membayar denda, oleh Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan menggunakan dan memiliki wang palsu ketika membeli dua biji kerongsang di sebuah bazar Ramadan di sini, dua tahun lepas.

Hakim S.M. Komathy Suppiah mengenakan hukuman itu terhadap Naemah Ramli, 51, dari Sungai Besi setelah mengambil kira beberapa faktor dan tertuduh mengakui kesalahannya.

Naemah tidak membayar denda itu. Dia didakwa menggunakan wang kertas RM50 palsu sebagai tulen untuk membeli dua biji kerongsang daripada Norazmi Misti, 34, di gerai No. 107, Bazar Ramadan Lorong Tuanku Abdul Rahman pada 10.15 malam, 24 Sept 2008.

Naemah didakwa mengikut Seksyen 489(B) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Dia turut didakwa memiliki 62 keping wang kertas RM50 palsu dengan niat untuk menggunakan wang itu sebagai tulen, di Balai Polis Masjid India pada 10.30 malam, tarikh yang sama.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 489(C) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, peguam Mohd Radzlan Jalaludin yang mewakili anak guamnya memohon mahkamah memberikan pertimbangan wajar sebelum mengenakan hukuman, memandangkan tertuduh hanya menjual air di sekolah dan perlu menyara suaminya yang tidak bekerja serta dua anaknya.

Tertuduh menggunakan wang palsu kerana terdesak berikuta ketika itu musim perayaan dan dia melakukan jenayah itu kerana ingin menyambut Hari Raya Aidilfitri, katanya.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan