Peguam Bukan Islam Dibenar Pohon Perintah Bekerja di Mahkamah Syariah

Diterbitkan: Jumaat, 14 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang peguam wanita yang bukan beragama Islam hari ini memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Sivil di sini bagi mendapatkan semakan kehakiman untuk beliau bekerja sebagai peguam di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh memberi kebenaran kepada permohonan untuk suatu perintah bagi mendesak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menerima masuk Victoria Jayaseele Martin sebagai peguam syarie.

Ini adalah kes pertama di Kuala Lumpur apabila seorang peguam bukan Islam diberi kebenaran untuk mencabar bahawa hanya peguam yang beragama Islam sahaja boleh bekerja sebagai peguam di Mahkamah Syariah.

Victoria, yang memperoleh Diploma dalam Undang-undang dan Amalan Syariah (DSLP) pada 2004 dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sivil selepas permohonanya sebagai peguam syarie ditolak Majlis Agama Islam melalui jawatankuasa peguam syarie.

Beliau berkata melalui sepucuk surat bertarikh 6 April, 2006, beliau menghantar permohonan tetapi Majlis Agama memaklumkan beliau bahawa permohonannya sedang diproses.

Selepas lebih tiga tahun, tiada jawapan daripada Majlis Agama berhubung permohonannya.

Katanya melalui sepucuk surat bertarikh 4 Ogos, 2009 beliau memohon semula sebagai peguam syarie tetapi Majlis Agama melalui jawatankuasa peguam syarie melalui sepucuk surat bertarikh 9 September, 2009 menolak permohonannya atas alasan bahawa beliau bukan Islam.

Beliau kemudian memfailkan permohonan kebenaran pada 23 Oktober tahun lepas yang antara lain untuk satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Majlis Agama kerana menolak permohonannya untuk diterima sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. Victoria juga mahukan satu pengisytiharan bahawa Kaedah 10 daripada Rukun Peguam Syarie 1993, yang memberi mandat bahawa orang Islam sahaja boleh diterima sebagai peguam syarie adalah ultra vires kepada Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Beliau juga menuntut satu pengisytiharan bahawa di bawah kaedah yang sama, yang memberi mandat bahawa hanya orang Islam diterima sebagai peguam syarie, adalah bertentangan dengan Artikel 8(1), 8(2), 5 dan 10(1) Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Kanan Persekutuan Nadia Hanim Mohd Tajuddin dari Pejabat Peguam Negara mewakili Majlis Agama Islam.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Victoria yang gembira dengan keputusan hari ini berkata beliau mahu menjadi seorang peguam syarie demi kepentingan keadilan.

Peguamnya, Ranjit Singh memberitahu pemberita bahawa hakim menolak hujahan Majlis Agama bahawa hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa bagi mendengar permohonan anak guamnya berhubung permohonan menjadi peguam syarie.

Katanya beliau memaklumkan hakim bahawa mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk menangani perkara itu.

Ranjit berkata hakim juga menolak hujahan Majlis Agama bahawa jika Victoria tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Majlis Agama, beliau boleh membuat rayuan dengan majlis itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan