'Kejadian Ini Tanpa Kerelaan Saya', Kata Saiful Dalam Laporan Polis

Diterbitkan: Isnin, 10 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengadu diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa laporan polis yang dibuatnya telah menyatakan beliau diperlakukan demikian tanpa kerelaan.

Mohd Saiful, 25, yang memakai kot hitam dan berkemeja biru, berkata demikian apabila ditanya oleh peguam Karpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan dalam pemeriksaan balas ketika kes itu disambung semula hari ini di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Kemudiannya Mohd Saiful diminta oleh Karpal membaca laporan polis yang dibuatnya.

Laporan itu antaranya berbunyi: "Saya Mohd Saiful ingin melaporkan saya diliwat oleh majikan saya. Kejadian ini tanpa kerelaan saya...Oleh itu laporan ini dibuat dengan tujuan untuk mendapat keadilan dan pembelaan atas diri saya bagi tujuan keselamatan jika perkara ini tersebar luas."

Terdahulu selepas Mohd Saiful mengangkat sumpah dalam kandang saksi, Karpal Singh mengingatkan beliau supaya bercakap benar di mahkamah kerana menjadi kewajipan besar baginya sebagai saksi untuk bercakap benar.

Anwar, 63, yang juga ketua pembangkang dan penasihat Parti Keadilan Rakyat, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan meliwat Mohd Saiful, di sebuah apartmen di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun 2008.

Mohd Saiful memberitahu mahkamah bahawa seorang anggota polis iaitu ACP Mohd Rodwan Yusof telah berjumpa dengannya di Hotel Melia di Jalan Imbi pada 8 malam 24 Jun 2008.

Karpal: Untuk tujuan apa ACP Rodwan berjumpa kamu?

Mohd Saiful: Pada masa itu ACP Rodwan ada telefon saya. Beliau kata nak jumpa. Pada masa itu saya tidak tahu tujuan apa. Masa jumpa dia tanya saya apa masalah yang saya hadapi.

Karpal: Jumpa ACP Rodwan lepas jumpa (Datuk Seri) Najib (Tun Razak)?

Mohd Saiful: Ya.

Karpal: Ada sesiapa arahkan ACP Rodwan jumpa anda?

Mohd Saiful: Tidak tahu.

Karpal: Macam mana dia tahu nombor telefon anda?

Mohd Saiful: Tidak pasti

Karpal: Apa berlaku lepas berjumpa?

Mohd Saiful: Saya ceritakan kepada dia yang saya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa kali.

Karpal: Ada kenyataan anda kata, anda diliwat tanpa kerelaan?

Mohd Saiful: Ya, dalam laporan polis saya.

Karpal juga bertanya MOhd Saiful dengan siapa beliau berjumpa sebelum mendapatkan rawatan dan mengapa beliau mengambil selama dua hari sebelum membuat laporan polis berhubung dakwaannya diliwat.

Mohd Saiful berkata beliau berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Jun 2008 bagi mengadu masalahnya kepada Najib.

Mohd Saiful berkata beliau berjumpa dengan Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri di rumah Najib di Taman Duta di sini dan selepas itu beliau tidak berjumpa lagi dengan Najib.

Mohd Saiful berkata beliau hanya berjumpa Najib, dan tidak pernah berjumpa dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Semasa ditanya Karpal mengenai pemeriksaannya di Hospital Pusrawi pada 28 Jun, iaitu selepas dua hari beliau didakwa diliwat oleh Anwar, Mohd Saiful berkata bahawa beliau memberitahu Dr Mohd Osman Abdul Hamid yang beliau sakit di bahagian dubur dan juga mengalami sakit perut.

Mohd Saiful berkata sebelum pemeriksaan dibuat oleh Dr Mohd Osman, beliau memberitahu yang beliau sakit perut tetapi semasa pemeriksaan dijalankan beliau berterus terang dengan doktor itu bahawa beliau diliwat.

Semasa diminta penjelasan mengenai laporan perubatan oleh Dr Mohd Osman yang antaranya menyebut bahawa "pesakit mendakwa dicederakan dengan plastik di bahagian dubur", Mohd Saiful berkata beliau tidak faham tulisan doktor itu.

Karpal: Adakah apa yang ditulis ini benar?

Mohd Saiful: Saya tidak pernah buat aduan seperti ini kepada doktor itu.

Karpal: Adakah anda tahu doktor itu akan beri keterangan di mahkamah?

Mohd Saiful: Ya tahu.

Karpal: Mengapa doktor itu tulis macam itu.

Mohd Saiful: Saya tidak pasti.

Karpal: Adakah doktor itu bohong?

Mohd Saiful : Ya bohong. Tidak benar.

Mohd Saiful kemudiannya memberitahu mahkamah bahawa selepas berjumpa dengan Dr Osman, beliau diarah oleh doktor itu untuk membuat pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur.

Mohd Saiful berkata beliau pergi ke HKL dengan bapa saudaranya yang dipanggilnya Uncle Tuah pada 3 petang sehingga 12 tengah malam.

Di HKL, katanya, seorang doktor bernama Dr Daniel memintanya pergi ke wad One Stop Crisis Centre (OSCC) dan semasa berjumpa Dr Daniel beliau berterus terang yang beliau diliwat.

Mohd Saiful memberitahu mahkamah bahawa beliau telah diperiksa oleh tiga orang doktor termasuk Dr Daniel.

Beliau juga diminta membaca laporan perubatan oleh ketiga-tiga doktor itu.

Karpal juga meminta Mohd Saiful menjelaskan mengenai kandungan laporan perubatan itu antaranya "tiada tanda cedera di dubur" yang mana Mohd Saiful menjawab beliau tidak dapat melihat duburnya sendiri.

Karpal: Apa pendirian kamu dengan laporan perubatan ketiga-tiga doktor iaitu iaitu "tidak ada apa-apa yang tidak kena dengan dubur awak."

Mohd Saiful: Saya tidak tahu. Saya tidak dapat nampak dubur saya.

Ketika ini, Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pasukan pendakwaan mencelah, dan berkata Karpal sepatutnya menujukan soalan itu kepada para doktor berkenaan.

Hakim Mohamad Zabidin bersetuju dengan Mohamed Yusof, dengan berkata bahawa sudah tentunya Mohd Saiful tidak dapat melihat dubur sendiri, dan ini menyebabkan mereka yang hadir di mahakamah ketawa.

Mohd Saiful juga menyampuk sambil menjawab "Semasa diliwat saya guna pelincir."

Pada pemeriksaan balas itu juga, Karpal meminta penjelasan Mohd Saiful sama ada beliau merupakan seorang Islam yang baik, dan Mohd Saiful berkata beliau cuba untuk menjadi seorang Islam yang baik.

Mohd Saiful berkata semasa bekerja dengan Anwar, beliau jarang bersembahyang tetapi mulai insaf selepas membuat laporan polis berhubung kejadian liwat itu.

Katanya beliau tidak sembahyang selepas kejadian liwat.

Karpal: Kenapa anda tidak sembahyang hari itu (26 Jun 2008)?

Mohd Saiful: Mungkin kerana saya telah diliwat.

Karpal: Ada sembahyang pada 27 Jun?

Mohd Saiful: Ada sembahyang Jumaat.

Karpal: Ada mandi sebelum sembahyang?

Mohd Saiful : Ada mandi sedikit saja tapi tidak cuci habis.

Karpal: Bila sembahyang, mesti cuci betul-betul? Betul mandi junub diwajibkan?

Mohd Saiful :Ya.

Karpal: Jadi sembahyang anda pada 27 Jun 2008, adalah tidak sah?

Mohd Saiful: Ya.

Karpal: Jadi anda bukan seorang Islam yang baik.

Pada ketika itu, Mohamed Yusof membantah. Hakim Mohamad Zabidin kemudiannya berkata pihak pembelaan tidak boleh membantah sekiranya pihak pendakwaan membuat serangan peribadi terhadap Anwar, di mana Karpal menjawab, beliau tidak mempunyai bantahan terhadap perkara itu.

Perbicaraan disambung esok bagi mendengar kedua-dua pihak berhujah mengenai permohonan Karpal untuk mendapat salinan keterangan saksi yang diambil oleh polis. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan