Bedah Siasat Mayat Kugan Ditunda Lebih Lima Jam: Saksi

Diterbitkan: Rabu, 5 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa mayat A. Kugan yang ditemui mati di Balai Polis Taipan pada Januari tahun lepas, tidak dibedah siasat pada pukul 2 petang seperti dimaklumkan sebaliknya telah ditunda lebih lima jam.

Asisten Supritendan Mohd Zainal Mohd Abdullah, 32, berkata, perkara itu berlaku disebabkan keluarga Kugan ingin melantik doktor pemerhati ketika pembedahan dilakukan.

Proses itu yang sepatutnya dilakukan pada pukul 2 petang, 21 Januari tahun lepas, ditunda pada pukul 7.30 malam di Hospital Serdang dengan diketuai Pakar Perunding Kanan Patalogi dan Forensik, Dr Abdul Karim Tajuddin.

"Selepas dimaklumkan oleh Dr Abdul Karim mengenai penundaan itu atas sebab keluarga Kugan ingin melantik doktor pemerhati, saya kemudian beredar keluar dari hospital.

"Saya kemudian pergi ke Mediveron Clinic untuk merakamkan percakapan Dr Baldev Singh Gill, 43, iaitu orang yang bertanggungjawab memeriksa keadaan Kugan ketika kejadian itu," katanya ketika disoal jawab peguam bela Datuk P.M Nagarajan yang mewakili Konstabel Navindran. Mohd Zainal, yang bertugas sebagai pegawai penyiasat dalam kematian Kugan di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya berkata, penangguhan itu juga berlaku kerana keluarga Kugan tidak hadir ke hospital untuk pengecaman mayat.

Mohd Zainal berkata, beliau ada memberitahu ahli keluarga Kugan supaya hadir ke hospital untuk melihat mayat selepas dimaklumkan pihak hospital bahawa keluarga Kugan telah datang pada malam sebelumnya sehingga menimbulkan kekecohan.

Saksi ke-21 pendakwaan itu memberi keterangan balas pada perbicaraan kes Navindran, 28, yang mengaku tidak bersalah 1 Okt lepas terhadap dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada Kugan, 23, suspek kes curi kereta mewah.

Navindran didakwa melakukan perbuatan itu di bilik soal siasat pejabat D9, di Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya, 7 pagi, 16 Jan tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi dua pertuduhan pilihan menyebabkan cedera kepada Kugan, Navindran turut mengaku tidak bersalah di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda.

Mohd Zainal memberi keterangan pada hari ke-20 kes itu dibicarakan, beliau kemudian menyerahkan tugas siasatan kes kepada ASP Marzuki Mokhtar yang dilantik pada 23 Jan tahun lepas, untuk menyelesaikan kes itu.

"Laporan mengenai tiga spesimen telah diperoleh yang diserahkan kepada saya melalui Dr Abdul Karim iaitu meliputi tujuan darah diambil, melakukan perbandingan, mengesan kandungan alkohol dan dadah," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin bersambung esok. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan