Anwar Gagal Dalam Rayuan Berhubung Tuduhan Liwat

Diterbitkan: Selasa, 4 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berlangsung, akan bersambung Isnin ini selepas gagal dalam rayuannya agar tuduhan itu diketepikan di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.

Tiga panel hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria tidak menerima pendapat pihak pembelaan bahawa tuduhan dan pendakwaan terhadap Anwar perlu diketepikan berdasarkan laporan perubatan yang melaporkan bahawa tiada sebarang tanda penetrasi atau tembusan ke dubur atau rektum Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Dalam keputusan sebulat suara, Arifin berkata, laporan perubatan oleh tiga doktor mesti dibaca secara keseluruhan.

"Dengan berbuat demikian, ia tidak menyokong dakwaan perayu agar tuduhan itu dibatalkan pada peringkat ini," katanya. Dua hakim lagi ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri James Foong Cheng Yuen dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Suriyadi Halim Omar. Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu kini dibicarakan atas dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful, 24, di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun, 2008.

Anwar, 63, menghadapi hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan. Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Anggota Parlimen Permatang Pauh itu juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Dalam mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, pada 17 Februari tahun ini memutuskan bahawa laporan perubatan di mana Anwar bergantung harap, tidak konklusif tetapi hanya membenarkan apa yang doktor perlu memberi keterangan di mahkamah.

Anwar bergantung kepada laporan perubatan yang menyebutkan bahawa "tidak ada hasil klinikal menunjukkan berlaku penetrasi atau tembusan ke dubur/rektum," bagi menyokong pemohonannya bagi menolak tuduhan liwat ke atasnya.

Dalam prosiding sebelum itu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa adalah terlalu awal pada ketika ini untuk menyatakan bahawa tiada bukti menunjukkan penetrasi apabila doktor masih perlu menjelaskan sebahagian daripada laporannya.

Mohd Yusof berkata, ada bahagian lain yang berkaitan dengan pembuktian dalam laporan perubatan yang tidak diambil perhatian oleh Anwar.

Katanya, analisis makmal yang dijalankan ke atas empat calitan kapas mendedahkan mengenai kehadiran air mani.

Beliau memetik buku 'Forensic Medicine for Lawyers', yang menyatakan bahawa penemuan air mani pada calitan yang diambil sama ada daripada saluran dubur atau mukosa dubur akan membuktikan aksi liwat hampir di luar pertikaian.

Mohd Yusof berkata, selain daripada bukti saksi pendakwaan pada perbicaraan, lain-lain bukti yang berkaitan mengenai kehadiran air mani dan analisis DNA akan membatalkan dakwaan Anwar bahawa tuduhan ke atasnya oleh pihak pendakwaan didorong oleh mala fide.

Peguam Anwar, Karpal Singh berkata bahawa laporan perubatan tidak menunjukkan tanda-tanda penetrasi dan tanpa kehadiran luka defensif yang signifikan ke atas Mohd Saiful.

"Bagaimana boleh ada air mani apabila tidak ada penetrasi," katanya sambil menambah bahawa kehadiran air mani menandakan bahawa bukti itu merupakan satu perangkap.

Karpal Singh juga berhujah bahawa seharusnya dakwaan dan tuduhan tidak dirumuskan ke atas Anwar kerana laporan perubatan itu akan bertentangan dengan bukti Mohd Saiful yang akhirnya mencabar testimoninya (Mohd Saiful).

Kecewa dengan keputusan itu, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail memberitahu pemberita di luar mahkamah bahawa beliau tidak berpuas hati bahawa Mahkamah Persekutuan hanya memberi dua baris perkataan dalam keputusan mereka.

"Dari lubuk hati saya, ia adalah satu keputusan yang dijangkakan," katanya.

Anwar tidak hadir di mahkamah kerana berada di luar negara.

Sementara itu, Karpal Singh memberitahu pemberita bahawa pihak pembelaan akan meneruskan dengan perbicaraan minggu depan kerana ini merupakan perkara akhir yang masih tertangguh. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan