Mahkamah Tolak Rayuan Anggota Polis, Ugut Dan Rogol Wanita Indonesia

Diterbitkan: Jumaat, 30 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang dikenakan hukuman penjara 13 tahun dan 12 sebatan kerana merogol dan memeras ugut seorang wanita warga Indonesia pada 2007 sebaliknya hukuman penjara ditambah setahun lagi.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Nasfy Yasin memerintahkan tertuduh, Mohd Khairul Nizam Abd Aziz, 36, dipenjara 14 tahun dan 12 sebatan selepas menolak rayuan tertuduh terhadap dua tuduhan rogol dan satu tuduhan peras ugut.

Bagi tuduhan pertama, Mohd Khairul didakwa meminta RM500 daripada mangsa berusia 31 tahun dengan alasan supaya wanita itu tidak ditangkap kerana dokumen perjalanannya sudah tamat tempoh.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah tokong Cina dekat Jalan Kuala Klawang ke Pertang antara 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari pada 21 Oktober 2007.

Mahkamah mengekalkan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Seremban sebelum ini iaitu penjara tiga tahun dan dua sebatan selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Bagi tuduhan kedua tertuduh didakwa merogol mangsa di antara jam 12.30 tengah hari sehingga 1 petang di Hotel Sri Klawang, Kuala Klawang, pada hari yang sama.

Bagi kesalahan itu Ahmad Nafsy memerintahkan tertuduh dipenjara 11 tahun dan lima sebatan.

Sebelum ini Mahkamah Sesyen memutuskan tertuduh dipenjara lapan tahun dan lima sebatan selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Dan bagi tuduhan ketiga merogol mangsa di antara jam 2 petang hingga 2.30 petang di tempat dan tarikh yang sama, Mahkamah Tinggi memerintahkan tertuduh dipenjara 11 tahun dan lima sebatan.

Sebelum ini dia dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan.

Bagaimanapun hakim memerintahkan hukuman bagi tuduhan rogol berjalan serentak.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin dalam hujahnya agar mahkamah menolak rayuan tertuduh berkata: "Tertuduh sudah menyalahkan amanat yang diberi dan sepatutnya sebagai seorang anggota polis dia berperanan menjaga keamanan dan keselamatan rakyat tetapi sebaliknya telah bertindak melakukan jenayah peras ugut dan seks".

Tertuduh diwakili peguam M. Jeevakumar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan