Pertikaian Keluarga Diraja Ke Mahkamah Kini di Selangor Pula

Diterbitkan: Rabu, 28 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Setelah Kelantan, kini isu keluarga diraja mengheret ahli keluarga mereka ke mahkamah kerana pertikaian dalaman dan juga kuasa muncul di Negeri Selangor pula.

Semalam anak saudara Sultan Selangor, Putera Azamuddin Shah Abdul Aziz telah memfailkan satu petisyen di Mahkamah Tinggi di sini untuk membekukan aktiviti dan aset sebuah syarikat yang diterajui oleh bonda dan juga datuk saudaranya.

Beliau menamakan bondanya, Tengku Putri Arafiah ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz Shah dan Tengku Abdul Samad Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan syarikat mereka, Sunshine Fleet Sdn Bhd sebagai responden.

Putera Azamuddin adalah pengarah syarikat itu dan begitu juga kedua-dua responden.

Putera Azamuddin memfailkan petisyen tersebut setelah kedua-dua responden gagal untuk respon kepada surat tuntutannya untuk mendapatkan akses ke atas hal ehwal syarikat.

Sunshine Fleet yang mana Tengku Putri Arafiah adalah pemegang saham utamanya merupakan kontraktor projek pembinaan Hospital Shah Alam yang kini hanya 24% siap dan tarikh siapnya terpaksa ditunda ke Jun tahun hadapan.

Di dalam petisyennya juga, Putera Azamuddin memohon pengisytiharan mahkamah yang kedua-dua responden tersebut telah mendiskriminasikan dirinya dengan menghalangnya daripada mengakses segala maklumat serta perkembangan syarikat.

Putera Azamuddin juga mendakwa bahawa beliau tidak pernah dimaklumkan tentang kedudukan kewangan syarikat dan juga projek dan tidak pernah dibayar apa-apa dividen selaku pemegang saham minoriti.

Malah beliau mendakwa telah dihalang daripada memasuki premis syarikat atau menghadiri sebarang mesyuarat dan tidak dibenarkan mengakses sebarang maklumat mengenai pengurusan, operasi mahupun kedudukan kewangan syarikat berkenaan.

Defenden juga memohon pengisytiharan bahawa kedua-dua responden telah menggunakan kuasa mereka secara salah untuk menindas dan mengabaikan kepentingannya dalam syarikat itu.

Beliau juga menuntut ganti rugi termasuk kos dan faedah yang mana dilihat sesuai oleh mahkamah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan