Penghujahan Dakwa Nazri Hina Mahkamah Diadakan 6 Mei

Diterbitkan: Rabu, 28 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Koroner yang mengendalikan inkues Teoh Beng Hock hari ini membenarkan Peguam Negara menjadi pencelah dalam permohonan abang si mati bagi mengaitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz dengan perbuatan menghina mahkamah.

Koroner Azmil Muntapha Abas juga menetapkan 6 Mei sebagai tarikh bagi mendengar penghujahan daripada Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh dan Karpal Singh, peguam yang mewakili abang Teoh, Meng Kee, sama ada untuk membenarkan diadakan perbicaraan berhubung perbuatan menghina mahkamah.

Azmil memberitahu semua pihak terbabit bahawa beliau merancang untuk mengumumkan keputusannya tentang permohonan itu hari ini, tetapi menundanya selepas mendengar hujah tentang asas permohonan Peguam Negara itu serta dua afidavit tambahan yang difailkan Karpal Singh hari ini.

Beliau berkata, tidak terdapat sebarang ketidakwajaran dalam permohonan Peguam Negara untuk mencelah dan berdasarkan undang-undang kes, ia pernah dibuat sebelum ini serta tidak ada salahnya dalam kelewatan Pejabat Peguam Negara untuk berbuat demikian kerana ia tidak melanggar Peraturan Mahkamah Rendah.

Karpal Singh memfailkan dua afidavit tambahan satu daripada Meng Kee dan satu lagi daripada wartawan portal Malaysiakini Hazlan Zakaria yang telah menemubual Nazri melalui telefon dalam mana menteri itu didakwa menggelarkan pakar pathologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunan sebagai "pembohong".

Terdahulu, dalam hujahnya, Amarjeet Singh berkata, Pejabat Peguam Negara perlu dibenarkan mencelah atas dua alasan.

Pertama, sebagai penjaga kepentingan awam, Peguam Negara mempunyai hak untuk mencelah dan kedua, Peguam Negara mempunyai budi bicara untuk mencelah pada peringkat mana sekalipun dalam perbicaraan dan Peraturan Mahkamah Rendah tidak menetapkan tempoh masa tentang perkara itu.

Amarjeet Singh juga berkata, sejak Meng Kee mengemukakan permohonan sebelah pihaknya, ia tidak pernah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara dan di samping itu, segala apa yang dinyatakan Meng Kee dalam kenyataannnya bagi menyokong afidavitnya, merupakan perkara dengar cakap semata-mata.

Karpal Singh menyangkal hujah itu dengan berkata, sekiranya benar beliau sebagai penjaga kepentingan awam, Peguam Negara sepatutnya bertindak pada hari pertama lagi iaitu selepas Nazri didakwa mengecap Dr Pornthip, yang digunakan khidmatnya oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam inkues ini, sebagai "pembohong".

Peguam itu berkata, permohonan pada saat akhir yang dibuat Peguam Negara semalam, mengandungi unsur-unsur berniat jahat. Meng Kee memfailkan permohonan sebelah pihaknya pada 16 April.

Teoh, 30, ditemui mati di Tingkat 5, Plaza Masalam di sini pada 16 Julai tahun lepas selepas disoal siasat sehari semalam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Tingkat 14 bangunan sama, sebagai sebahagian daripada proses soal siasat berhubung tuduhan pembayaran wang negeri yang tidak mengikut peraturan.

Semalam, Azmil menetapkan 20 Mei sebagai tarikh bagi mendengar pendapat Dr Pornthip selepas beliau mendengar keterangan pakar forensik Britain Prof Dr Peter Vanezis, yang mewakili SPRM.

Dalam inkues sebelum ini, Dr Porntip berkata, 80 peratus kematian Teoh berpunca daripada perbuatan membunuh, berdasarkan gambar, tempat kematian dan kecederaan yang dialaminya.

Dr Porntip kemudiannya berkata, beliau dikenakan tekanan politik untuk tidak memberi bukti selanjutnya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan