Dua Pengawal Keselamatan Dipenjara Tiga Tahun Kerana Meragut

Diterbitkan: Selasa, 27 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua pengawal keselamatan masing-masing dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah meragut beg tangan seorang guru wanita di sini, minggu lepas.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin merintahkan Md Azrul Md Azmi, 24, dari Sentul dan Mohd Khairul Aswadi Abdullah, 29, dari Puchong, menjalani hukuman itu kerana meragut beg tangan milik Zanita Mat Ghani, 36, dari Cheras, di sini, di Jejantas Sultan Ismail, di sini, pada pukul 10.15 malam, 20 April lalu.

Beg tersebut mengandungi wang tunai RM250, telefon bimbit jenama Nokia, buku Tabung Haji, kad ATM, lesen memandu dan kunci bilik sebuah hotel di sini.

Kedua-dua tertuduh, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

"Jangan ambil jalan mudah dan senang dengan mengambil hak orang lain...apa yang penting perlu rajin berusaha, baru mendapat hasilnya," kata Ahmad Kamar sebelum menjatuhkan hukuman.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Cif Inspektor R.Rukumar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan