Peniaga Hadapi Tujuh Pertuduhan Rasuah Membabitkan RM10,000

Diterbitkan: Isnin, 19 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tujuh pertuduhan rasuah membabitkan suapan berjumlah RM10,000, dua tahun lepas.

Riduwan Ramli, 48, dituduh melakukan kesalahan itu antara 2 April dan 9 April 2008 di Taman Alma Jaya, Bukit Mertajam sebagai dorongan untuk membantu beberapa individu menyelesaikan kes anak mereka yang ditangkap polis kerana kesalahan mencuri motosikal.

Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, Riduwan didakwa meminta suapan sebanyak RM1,500, masing-masing daripada empat individu pada pukul 10.30 malam, 2 April 2008.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, dia didakwa menerima suapan sebanyak RM800 setiap seorang daripada dua individu pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan ketujuh, Riduwan didakwa menerima suapan sebanyak RM2,400 daripada seorang individu antara pukul 10.45 malam hingga 11.15 malam, 9 April 2008 di tempat yang sama.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dan menetapkan 4 Okt untuk perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Penolong Pendakwa Raya Mohd Nur Lokman Samingan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan