Ahli Perniagaan China Saman Tan Sri Ngan Kerana Ingkar Perjanjian - Berita Mahkamah | mStar

Ahli Perniagaan China Saman Tan Sri Ngan Kerana Ingkar Perjanjian

Diterbitkan: Rabu, 14 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan wanita warga China hari ini mengemukakan saman berjumlah RM1 juta terhadap tokoh perniagaan terkenal negara Tan Sri Ngan Ching Wen kerana didakwa melanggar perjanjian dalam projek pembangunan Xi'an Qujiang di wilayah Sichuan China.

Wang Yunzhen, 49, menfailkan saman itu di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini, melalui Tetuan Halim Hong & Quek.

Dalam saman itu, Wang menamakan Ngan, 78, dan CM Xi'an Qujiang Properties (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat perkongsian yang diperbadankan di negara ini, sebagai defendan.

Wang dalam pernyataan tuntutannya berkata pada 26 Februari 2007, beliau telah menandatangani satu perjanjian kerjasama berhubung projek tersebut selepas Ngan berminat untuk bekerjasama dengannya.

Wang berkata Ngan telah bersetuju untuk membayar RM13 juta kepadanya sebagai tambahan 25 peratus pemilikan saham dalam syarikat CM Xi'an dan beliau akan dilantik sebagai pengurus syarikat itu.

Bagaimanapun, Wang mendakwa, Ngan yang berjaya memperolehi projek itu melaluinya, telah mengingkari perjanjian itu, malah Ngan secara jelas melalui syarikat pilihannya telah memperolehi manfaat daripada projek pembangunan itu.

Beliau memohon ganti rugi RM1 juta, ganti rugi am, teladan, tambahan, faedah dan juga kos daripada mahkamah. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan