Hujahan Kes Bunuh Muntik Ditangguh Ke 28 Dan 29 April

Diterbitkan: Selasa, 13 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan sehingga 28 dan 29 April ini untuk mendengar hujahan kes seorang penjual air tebu yang didakwa membunuh pembantu rumah warga Indonesia, Muntik Bani, Oktober tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa menetapkan tarikh itu selepas peguam V. Rajehgopal, yang mewakili tertuduh, A. Murugan, memohon mahkamah memberi masa untuk menyiapkan hujahan bertulisnya.

"Peguam bela secara jujur maklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya sudah bersedia dengan hujahan tetapi ia belum dibuat secara bertulis dan mahkamah mengambil kira bahawa kes ini berlaku pada 2009 dan ia selesai cepat (di peringkat pendakwaan) dalam masa enam bulan.

"Bagaimanapun pada tarikh akan datang tiada sebab untuk peguam bela pohon tangguh lagi," kata Mohd Yazid.

Terdahulu itu, Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani memohon mahkamah merekodkan bantahan pihak pendakwaan dengan alasan kedua-dua pihak telah diberikan masa untuk menyediakan hujahan masing-masing termasuk hujahan bertulis.

Kes itu yang mendapat liputan meluas di dalam dan luar negara kerana membabitkan kes penderaan pembantu rumah, melibatkan Murugan, 36, yang didakwa membunuh Muntik, 36, di rumahnya di No 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Oktober tahun lepas.

Tertuduh, yang pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini pada 3 November tahun lepas, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik yang berasal dari Surabaya, Indonesia, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pada 26 Oktober lepas setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Pihak pendakwaan menutup kes pada 12 Mac lepas, selepas 50 saksi dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang mengambil masa singkat bermula pada 18 Januari lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan