Mungkin Ada Orang Lain Bantu Pegang Kugan Ketika Dipukul: Saksi

Diterbitkan: Jumaat, 9 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa kemungkinan ada orang lain membantu memegang A. Kugan ketika dia dipukul, dalam kes tahanan itu yang mati dalam lokap pada Januari tahun lepas.

Pakar Perunding Kanan Patalogi dan Forensik, Abdul Karim Tajuddin, 61, berkata, kecederaan yang dialami oleh Kugan boleh berlaku jika seorang sahaja yang memukulnya, tetapi daripada sudut pergerakan mangsa, berkemungkinan besar ada orang lain yang turut membantu agar Kugan tidak bergerak.

Abdul Karim, yang bertugas di Bahagian Perubatan Forensik, Hospital Serdang, berkata demikian selepas peguam bela Datuk P.M. Nagarajan memohon demonstrasi dilakukan bagi memperlihat kedudukan Kugan ketika kejadian.

Nagarajan mengemukakan dua situasi berbeza untuk Abdul Karim memberitahu mahkamah, jika ia boleh atau sebaliknya, sehingga Kugan mendapat kecederaan teruk ketika dipukul, iaitu:

Pertama, ketika Kugan digari menggunakan gari berantai yang ketika itu sedang duduk dalam keadaan mencangkung dan terdapat dua yang lain memegang Kugan dan pemukul berada di hadapan.

Kedua, jika gari biasa digunakan terhadap Kugan di bahagian hadapan dan kemudian ada kayu yang diletakkan di celah kaki Kugan yang ketika itu duduk di atas lantai, pemukul berada di hadapannya yang menjadikan mangsa tidak bergerak.

Abdul Karim menjawab: "Ya, boleh."

Beliau juga berkata, daripada keadaan itu Kugan tidak ada sebarang pertahanan diri sendiri untuk mengelak diri daripada dipukul.

"Apabila mangsa digari di belakang dan dia tidak bergerak yang hanya mendiamkan diri, mangsa tidak akan mengalami sebarang kecederaan tetapi jika mangsa bergerak dan melawan, ini sudah cukup memadai untuk mendapat kecederaan itu.

"Akibat dari perbuatan melawan dan bergerak menyebabkan gari yang dipakai itu akan bergesel dengan permukaan kulit yang menghasilkan reaksi merah, luka, bengkak, lebam dan kemudian kulit itu akan menggelupas," katanya.

Ketika ditanya Nagarajan, beliau menjelaskan jika Kugan digari selama lima hari berturut-turut membolehkan kecederaan di pergelangan tangannya itu berlaku atas alasan pemakaian gari itu akan membebankan keadaan kecederaan itu.

Saksi kelapan itu dipanggil semula memberi keterangan pada perbicaraan kes Navindran, 28, yang mengaku tidak bersalah 1 Oktober lepas terhadap dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada Kugan, 23, suspek kes curi kereta mewah.

Navindran didakwa melakukan perbuatan itu di bilik soal siasat pejabat D9, di Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya, 7 pagi, 16 Januari tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi dua pertuduhan pilihan menyebabkan cedera kepada Kugan, Navindran turut mengaku tidak bersalah di tempat dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Katanya, sepanjang pemeriksaan beliau mendapati terdapat lebih kurang 40 kesan luka di bahagian luaran terutama lebam di bahagian betis, peha dan tulang rusuk, dinding perut dan belakang bahu kanan manakala terdapat juga kesan calar pada bahagian bahu kiri dan lengan serta di tengkuk mangsa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin bersambung esok. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan