Keputusan Permohonan Semakan Kes Bekas Mufti Perlis 28 April

Diterbitkan: Jumaat, 9 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 28 April ini untuk keputusan permohonan semakan oleh pihak pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur yang menolak untuk memindahkan kes bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang didakwa mengajar agama Islam tanpa tauliah ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Hakim Syarie Mohamad Adib Husain menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan yang diwakili Ketua Pendakwa Syarie Selangor Abdul Shukor Abdul Halim dan peguam syarie Kamar Ainiah Kamaruszaman yang mewakili Mohd Asri berhubung permohonan itu.

Pada 18 November tahun lepas, Mohd Asri, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur terhadap pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah kediaman di Lorong 2 C, Taman Sri Ukay, Ampang, antara 8.10 malam dan 9.45 malam 1 November lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan mengemukakan permohonan agar kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad bagaimanapun menolak permohonan itu dengan alasan bahawa permohonan itu hanya dibenarkan jika pihak pendakwaan mengemukakan alasan yang munasabah dan lebih tepat serta mungkin menyebabkan berlaku prejudis kepada tertuduh dan subjudis kepada mahkamah.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Dalam prosiding hari ini Abdul Shukor berhujah isu yang menjadi persoalan dalam kes itu ialah sama ada hakim Mahkamah Rendah Syariah mempunyai budi bicara untuk menolak permohonan Ketua Pendakwa Syarie Selangor mengikut Seksyen 101 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003.

Beliau berkata, peruntukan di bawah Seksyen 101 iaitu kuasa untuk memindahkan kes terbahagi kepada dua bahagian, iaitu melalui seorang hakim Mahkamah Rendah Syariah yang boleh memutuskan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Syariah sekiranya berpendapat ada sebab-sebab tertentu yang memerlukan kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah.

"Maka hakim itu hendaklah menggantung prosiding kes dan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Syariah. Satu lagi bahagian bagi proses pindahan kes di bawah peruntukan Seksyen 101 itu ialah melalui Ketua Pendakwa Syarie. Sekiranya semasa perbicaraan ada permohonan dibuat oleh Ketua Pendakwa Syarie maka hakim Mahkamah Rendah Syariah hendaklah menggantung prosiding kes dan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Syariah," katanya.

Mengenai kekhuatiran pihak responden (Mohd Asri) bahawa tindakan pihak pendakwaan yang bersungguh-sungguh ingin memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Syariah boleh menimbulkan tohmahan dan menjejaskan imej Mahkamah Syariah, Abdul Shukor berhujah ia adalah satu amanah yang dipertanggungjawabkan kepada beliau berlandaskan undang-undang.

"Oleh itu tidak ada persoalan sama ada saya ada motif tertentu dalam kes ini sedangkan saya tidak pernah beri sebarang kenyataan berhubung kes ini di luar mahkamah dan juga tiada isu wujudnya 'tangan-tangan ghaib' yang mempengaruhi pihak pendakwaan dalam kes ini. Dakwaan ini ternyata mengecewakan kami," katanya.

Kamar Ainiah pula berhujah pihaknya berpendapat tiada isu yang wujud berhubung keputusan Hakim Mahkamah Rendah Syariah tidak membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah yang membolehkan mahkamah menyemak semula keputusan itu.

Beliau berkata, tindakan pihak pendakwaan memohon memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Syariah sudah tentu akan menafikan hak anak guamnya yang akan kehilangan satu peringkat rayuan memandangkan Mahkamah Syariah hanya mempunyai dua proses rayuan iaitu di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

"Sasaran kami juga bukan kepada Ketua Pendakwa Syarie tetapi kepada beberapa orang di atas Ketua Pendakwa Syarie. Terdapat laporan media yang memetik kenyataan pegawai-pegawai dari JAIS berhubung kes anak guam saya di mana antaranya mereka mendakwa Mohd Asri akan dituduh dahulu di Mahkamah Rendah Syariah sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah.

"Ini yang saya kata ada tangan-tangan ghaib yang mengancam kes ini kerana awal-awal lagi sudah memberitahu media bahawa anak guam saya akan didakwa dahulu di Mahkamah Rendah sebelum dipindah ke Mahkamah Tinggi, sedangkan anak guam saya pada masa itu masih belum dihadapkan ke mahkamah. Terdapat spekulasi bahawa ada orang lain yang mengaturkan perjalanan kes ini dan kami tidak mereka-reka cerita tetapi kami mempunyai bukti," katanya.

Kamar Ainiah berkata, seorang hakim boleh menyemak semula sesuatu keputusan jika wujud perkara yang bertentangan dengan hukum syarak, tetapi dalam kes Mohd Asri, pihaknya mendapati tidak wujud perkara yang bertentangan dengan hukum syarak dan penghakiman yang dibuat oleh hakim Mahkamah Rendah Syariah juga tidak mempunyai sebarang kecacatan.

"Kuasa kehakiman terletak pada Mahkamah Syariah dan bukan terletak pada orang lain termasuk Ketua Pendakwa Syarie. Hanya Mahkamah Syariah yang ada kuasa untuk memindahkan kes dan bukan kuasa Ketua Pendakwa Syarie. Adakah fungsi hakim hanya untuk luluskan sahaja permohonan pendakwaan tanpa mempertimbangkannya? Saya kata tidak kerana ia terletak pada bidang kuasa hakim untuk buat keputusan dan oleh itu kami memohon supaya permohonan semakan pendakwaan ini ditolak," katanya.

Menjawab dakwaan Kamar Ainiah bahawa wujudnya 'tangan-tangan ghaib' yang menentukan perjalanan kes itu, Abdul Shukor berkata pihak responden tidak seharusnya membuat tuduhan melulu tanpa usul periksa dan setiap dakwaan perlulah disertakan dengan bukti.

"Mengenai dakwaan tertuduh akan hilang satu peringkat rayuan kami mencadangkan sekiranya pihak tertuduh tidak berpuas hati dengan keputusan yang akan diputuskan oleh mahkamah kelak mereka boleh mengemukakan rayuan kepada Ketua Hakim Syarie Selangor sebelum ke peringkat seterusnya iaitu rayuan ke Mahkamah Rayuan," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan