Bekas Perunding Bebas Dipenjara, Disebat Ubah Wang Haram RM3 Juta

Diterbitkan: Jumaat, 9 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas perunding bebas sebuah syarikat pengeluaran cip hari ini dipenjara tiga tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan RM3 juta.

Hakim Rozana Ali Yusoff menjatuhkan hukuman itu ke atas Md Sukor Razali, 45, selepas dia mengaku bersalah terhadap 11 pertuduhan melakukan aktiviti pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah.

Md Sukor dari syarikat Oberthur Card Systems (M) Sdn Bhd didakwa memiliki, melupuskan dan menggunakan wang milik syarikat tersebut untuk membeli pesanan juruwang serta memindahkannya ke akaun tiga buah syarikat iaitu Zahir & Razak Co, Inter Milenea Services Sdn Bhd dan IMMSSB Enterprise.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di Al-Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Berhad, Wisma Selangor Dredging, No 142-C, Jalan Ampang, di sini, antara 13 Mac dan 27 Mei 2008.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah yang sama, Md Sukor turut didakwa terhadap dua pertuduhan iaitu melakukan pecah amanah ke atas sembilan keping cek bernilai RM3,025,299.84 yang diamanahkan oleh syarikat Oberthur.

Bagi kedua-dua kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda.

Md Shukor turut didakwa terhadap satu lagi pertuduhan menggunakan dokumen palsu iaitu 'Board Resolution A Limited Company' bagi membuka akaun semasa syarikat (akaun lain bagi syarikat Oberthur).

Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Dia didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan tersebut di Al Rajhi Bank Cawangan Utama, Wisma Selangor Dredging, Jalan Ampang, di sini, antara 26 Februari hingga 28 Mac 2008.

Bagi kes melakukan aktiviti pengubahan wang haram, pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fareez Rahman manakala bagi kes pecah amanah dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hamidi Mohd Noh.

Md Sukor diwakili peguam bela Azman Zakaria. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan