Lelaki Didenda RM2,000 Ugut, Cedera Teman Wanita

Diterbitkan: Rabu, 7 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gara-gara mengugut dan mencederakan teman wanitanya, seorang lelaki dikenakan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mohd Azali Ibrahim mengenakan denda itu terhadap Cheah Ui Tiong, 34, selepas dia mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan. Cheah, kemudiannya membayar denda itu.

Bagi pertuduhan pertama, Cheah didakwa mengugut Yeap Pik Woon, 28, dengan berkata, akan menyebarkan video lucahnya di internet dan membuat DVD untuk dijual di pasar malam serta memanggil orang memecahkan cermin kereta teman wanitanya itu di A1-134 Plaza Medan Putra Bandar Manjalara Kepong, Sentul, pada 5.30 petang, 30 Mac lepas.

Bagi pertuduhan kedua, Cheah didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Yeap pada waktu dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Aizam Aiza Zamran.

Terdahulu, Cheah dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman ke atasnya kerana dia telah berkahwin dan perlu menyara dua anaknya yang masih bersekolah di samping ini merupakan kesalahan pertamanya.

Cheah berkata, dia hanya bekerja sendiri dengan pendapatan RM1,000 sebulan dan perlu menyara ibu bapanya yang tidak bekerja dan menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan