Bekas Imam Dipenjara Enam Tahun Kerana Miliki Ganja

Diterbitkan: Isnin, 5 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Seorang bekas imam hari ini dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana memiliki kanabis tahun lalu.

Che Shamsuddin Che Long, 61, yang mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan itu kelihatan tenang apabila dijatuhkan hukuman oleh Hakim Dazuki Ali.

Tertuduh yang berasal dari Kampung Beris Tengah, Tanjong Pauh, Bachok didakwa memiliki tujuh batang balutan kertas putih berisi bahan tumbuhan kering dadah jenis kanabis seberat 57.7 gram pada 15 April tahun lalu, pada pukul 8.30 malam di sebuah rumah tidak bernombor di kampung itu.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki dua batang kertas putih berisi tumbuhan kering dadah jenis kanabis seberat 12.65 gram pada tarikh dan tempat sama, pada pukul 7.50 malam.

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.

Dazuki menjatuhkan hukuman penjara enam tahun atas kesalahan pertama dan penjara dua tahun bagi kesalahan kedua, dengan hukuman berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditahan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Dazuki menasihatkan Che Shamsuddin agar insaf dengan kesalahan yang dilakukan selain sedar tertuduh merupakan seorang yang dihormati berdasarkan statusnya itu dan telah empat kali menunaikan haji.

"Saya pertimbang umur pakcik dalam menjatuhkan hukuman dan insaflah ini bukan permainan orang seusia pakcik tetapi mainan budak-budak," katanya.

Tertuduh yang mempunyai tujuh anak berusia antara 22 dan 39 tahun itu turut ditanya kenapa terjerumus dalam kes dadah itu namun tertuduh hanya menjawab "tidak tahu" dan menjelaskan beliau ke Mekah dalam tempoh 1989 sehingga 2004 menggunakan wangnya sendiri.

Dazuki turut memberikan perumpamaan kepada tertuduh iaitu: "Pakai kopiah pun boleh gelecoh (niat yang melencong) seperti nak pergi masjid tetapi singgah minum kopi atau teh yang airnya panas, kemudiannya lewatlah hendak ke masjid".

Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Rehan Mohd Aris manakala tertuduh diwakili peguam Azahir Nasir. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Kolumnis

iklan

Iklan