Pengurusan Kes Akhir Bagi Saman Anwar Terhadap Khairy Ditetapkan 12 Mei

Diterbitkan: Khamis, 1 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin ditetapkan untuk pengurusan kes akhir pada 12 Mei.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Wan Nursalena Wan Abdullah menetapkan tarikh itu selepas bertemu peguam Anwar, S.Prakash dan A.Sarah Maalini yang mewakili Khairy.

Prakash berkata mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak supaya mengemukakan dokumen bersabit dengan kes itu sebelum mahkamah menetapkan tarikh untuk perbicaraan kes saman berkenaan.

Anwar, 63, memfailkan saman itu pada 7 September, 2007 dengan mendakwa bahawa Khairy, yang ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno, telah memfitnah beliau dalam satu majlis politik di Kuala Kangsar, Perak, pada Ogos 2007.

Anwar, yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), mendakwa kenyataan berbaur fitnah oleh Khairy itu disiarkan oleh media cetak dan elektronik di negara ini pada 3 Ogos, 2007.

Beliau mendakwa kenyataan itu menggambarkan beliau sebagai seorang ahli politik yang tidak boleh dipercayai oleh orang Melayu, yang tidak mengutamakan perjuangan orang Melayu serta hak mereka, dan beliau berkeupayaan untuk mengkhianati perjuangan dan hak orang Melayu demi mendapatkan sokongan bukan Melayu di negara ini.

Anwar juga berkata Khairy membuat kenyataan itu untuk menyindir bahawa beliau (Anwar) merupakan seorang ejen politik Amerika Syarikat dan pihak Yahudi, di samping bertujuan memusnahkan kerjaya politiknya.

Beliau mendakwa Khairy berniat jahat ketika membuat kenyataan itu, yang merupakan pembohongan, tidak berasas dan tidak benar.

Selain ganti rugi am, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah, Anwar turut memohon injunksi bagi menghalang Khairy, atau ejennya, daripada mengulangi kenyataan itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan