Ikmal Hisham, Baharuddin Berjaya Ketepi Injunksi Larang Transaksi Aset Umno Tanah Merah

Diterbitkan: Ahad, 28 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan Ketua Umno Bahagian Tanah Merah Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz dan timbalannya Baharuddin Yusoff untuk mengenepikan perintah injunksi yang melarang mereka membuat sebarang transaksi berkaitan aset atau harta milik Umno bahagian itu.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim yang membuat keputusan itu di dalam kamar turut memerintahkan plaintif iaitu bekas setiausaha Umno bahagian itu Amran Abdul Rahman membayar kos sebanyak RM10,000 kepada kedua-dua defendan.

Peguam yang mewakili kedua-dua defendan, Abu Bakar Isa Ramat ketika ditemui pemberita berkata mahkamah juga saman pemula yang difailkan plaintif itu dengan mengambil kira faktor semasa permohonan tersebut dibuat, Amran telah kehilangan jawatan dalam Umno.

Pada 16 Februari, mahkamah yang sama telah mengeluarkan perintah injunksi itu terhadap Ikmal Hisham dan Baharuddin selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh Amran yang difailkan pada 10 Februari.

Mahkamah mengeluarkan perintah injunksi tersebut terhadap kedua-dua defendan kerana mereka dipercayai melanggar Akta Pertubuhan 1966 apabila kedua-duanya menjalankan tugas di bawah cawangan Umno yang telah dibubarkan.

Kedua-dua mereka sama ada melalui diri sendiri atau ejen atau wakil dan sebagainya dilarang dan ditegah daripada membuat sebarang transaksi berkaitan aset atau harta berupa tanah beserta bangunan di Lot 107, HSD 10/77, Lot 134, GRN 17704, Lot 207, GRN 17699, Lot 208 GRN 17700 dan Lot 209 GRN 17701 di Bandar Tanah Merah.

Kedua-dua defendan sama ada melalu diri sendiri atau ejen Umno Bahagian Tanah Merah, juga ditegah daripada membuat apa-apa pengeluaran dari akaun bank milik UMNO di akaun Maybank Tanah Merah N0:00305140063 dan akaun Public Bank Tanah Merah No: 3094199827.

Amran yang diwakili peguam Wan Jawahir Haron dan Ikmal Hisham tidak hadir pada prosiding hari ini.

Baharuddin yang ditemui mengucapkan syukur dengan keputusan mahkamah itu yang membuktikan Ikmal Hisham dan beliau adalah ketua dan timbalan yang sah. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan