Penjaga Stor Hadapi Tuduhan Bunuh Wanita - Berita Mahkamah | mStar

Penjaga Stor Hadapi Tuduhan Bunuh Wanita

Diterbitkan: Khamis, 25 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Seorang penjaga stor dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana dituduh membunuh seorang wanita, di Taman Kristal, Mergong di sini pada 3 Mac lepas.

Ooi Ai Peng, 33, dari Seberang Nyonya di sini, didakwa membunuh Suhana Mohd Sharif, 26, di luar premis bernombor 167, Taman Kristal di sini, kira-kira pukul 9.30 malam.

Tertuduh yang berkemeja ungu dan berseluar jeans mengganguk faham selepas pertuduhan dalam Bahasa Hokkien dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, namun tiada pengakuan direkodkan.

Ooi dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Farrah Farriza Wan Ghazali, manakala tertuduh diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid.

Majistret Sasha Diana Sabtu menetapkan sebutan semula kes pada 31 Mei ini bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan