Pembantu Kedai Dituduh Beri Keterangan Palsu Di Mahkamah

Diterbitkan: Khamis, 25 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Seorang pembantu kedai yang menjadi saksi prosiding inkues berhubung kematian Mohamad Tawfiq Noorzan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memberi keterangan palsu kepada mahkamah.

Khairun Nisa Anwar, 21, didakwa melakukan perbuatan itu semasa menjadi saksi kedua prosiding inkues berkenaan di Mahkamah Majistret di sini Selasa lalu jam 12 tengahari.

Tertuduh didakwa memberi keterangan palsu dengan menyebut bahawa keadaan Mohamad Tawfiq adalah "ok" dan tidak berada dalam keadaan mabuk semasa di pusat hiburan Paragon, Alor Setar, Kedah pada November tahun lalu.

Keterangan itu bercanggah dengan kenyataannya kepada polis sebelumnya yang mengatakan bahawa Mohamad Tawfiq dalam keadaan mabuk kerana pengaruh minuman keras.

Dia dituduh mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai yang bimbang gejala keterangan palsu semakin kerap berlaku di mahkamah memohon mahkamah mengenakan hukuman tinggi sebagai peringatan kepada rakyat Malaysia.

Beliau mencadangkan mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh kerana menurutnya keterangan palsu kepada mahkamah adalah satu kesalahan yang amat serius.

Sementara itu, peguam tertuduh, Jamil Mohamad Shafie merayu mahkamah mengenakan ikat jamin yang lebih rendah kerana tertuduh berpendapatan kecil iaitu kira-kira RM500 sebulan manakala bapanya hanya seorang tukang rumah dan ibunya seorang atendan pam minyak.

Majistret Mohd Fadhli Yaacob kemudiannya mengarahkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Inkues itu diadakan bagi menyiasat kematian Mohamad Tawfiq, 22, yang ditembak mati ketika cuba menyerang seorang anggota polis dengan sebilah pisau pemotong sayur ketika pemuda itu sedang mengamuk di kawasan Guar Sanji, pukul 8 pagi, 14 November tahun lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan