Bekas Polis Mengaku Tidak Bersalah Bunuh Budak Lelaki Dan Pengasuh

Diterbitkan: Jumaat, 19 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang bekas anggota polis berpangkat konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana tuduhan membunuh anak bekas setiausaha Umno Bahagian Klang dan pengasuhnya, tujuh tahun lepas.

Mohd Nahar Abu Bakar, 34, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa.

Tertuduh, yang pernah bertugas di Balai Polis Kampung Baru, Manjung, Perak pada 1997, didakwa membunuh Muhammad Nurosama Shohimi, berusia dua tahun setengah, di rumah pengasuhnya di No: 19, Tingkat 5, Flat Cempaka, Bandar Baru Klang, Klang, kira-kira pukul 1 tengah hari pada 30 Disember 2003.

Mohd Nahar yang ditangkap pada 16 Oktober tahun lepas, juga didakwa membunuh pengasuh kanak-kanak itu, Siti Rohana Baharom, 34, di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mohd Yazid menetapkan perbicaraan selama 12 hari bermula 24 Mei depan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Erwani Ismail sementara tertuduh diwakili peguam Imran Hadzalie Abdul Hamid.

Bapa kanak-kanak malang itu, Shohimi Shafie, 41, kini ahli perniagaan dan anggota keluarganya bagaimanapun tidak hadir di mahkamah.

Dalam kejadian itu, Mohd Nurosamah dan Siti Rohana mati selepas ditikam di kediaman pengasuh itu manakala anak perempuan Siti Rohana, Siti Aisyah, 8, yang berada di tempat kejadian sempat melarikan diri.

Mohd Nurosamah, yang ditikam dua kali di belakang badan manakala Siti Rohana ditikam sekali pada dada menggunakan pisau berukuran 23 sm, meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd Nahar pernah dikenakan tindakan buang kerja pada 21 Mei 1999 kerana terlibat dalam kes pecah rumah di Manjung dan dipenjarakan selama enam bulan di Penjara Kajang pada tahun 2000. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan