Urusan Luluskan 4,337 Visa Babitkan Bayaran RM1.2 Juta - Saksi

Diterbitkan: Khamis, 18 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen yang mendengar perbicaraan kes rasuah melibatkan bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don diberitahu hari ini bahawa urusan meluluskan permohonan 4,337 calling visa pekerja Bangladesh membabitkan pembayaran berjumlah RM1.2 juta.

Ahli perniagaan Datuk Zulkafli Maulud, 53, berkata jumlah itu adalah keseluruhan pembayaran kerana setiap pekerja dikenakan caj sebanyak RM300 dan daripada jumlah itu, RM20 adalah upah untuk dirinya manakala RM280 adalah untuk Datuk Seri Low Chang Hian.

Wahid, 57, didakwa menerima rasuah sebanyak RM60,000 daripada Low, juga seorang ahli perniagaan, pada 19 Ogos tahun lepas, sebagai bayaran upah bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, off Jalan Duta, pada 10.15 malam 10 Julai 2008.

Zulkafli, yang terlibat dalam perniagaan perkapalan dan membekal tenaga kerja, berkata daripada jumlah pembayaran 4,337 visa, beliau hanya menerima upah sebanyak RM86,740 dan Low menerima RM1,214,360.

Katanya beliau berkenalan dengan Low pada tahun 2007 ketika bermain golf dan Low pernah membantunya mendapatkan kelulusan visa antara lima ke enam kali.

Zulkafli, yang ditahan pada 9 Julai 2008 oleh Badan Pencegah Rasuah (ketika itu), berkata bahawa selepas disoal siasat, beliau telah diminta memberitahu siapakah yang menguruskan visa pekerja dan berapakah bayaran yang dikenakan.

"Saya katakan saya menghantar informasi kepada Datuk Low. Saya disuruh menghubungi Datuk Low untuk menjelaskan baki pembayaran berjumlah RM256,400," katanya dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Zulkafli berkata sebelum disoal siasat oleh BPR, beliau telahpun membuat pembayaran kepada Low sebanyak tiga kali iaitu sebanyak RM350,000, RM320,000 dan RM251,000.

Katanya pegawai BPR telah memintanya supaya membayar wang selebihnya itu kepada Low pada malam 9 Julai 2008 dan perlu memberi isyarat kepada pegawai BPR yang mengikutinya ketika proses penyerahan wang.

"Saya sampai di hotel PJ Hilton pada pukul 9.45 malam bersama wang tunai RM256,400 dan cek bernilai RM98,000, yang mana jumlah itu saya masih berhutang dengan Datuk Low. Saya mendapat cek itu daripada majikan yang memohon calling visa dan wang tunai itu separuh daripada majikan dan separuh lagi daripada BPR untuk mencukupkan jumlah RM256,400," katanya.

"Dalam pukul 10 malam, Datuk Low datang bersama isterinya. Pegawai yang menemani saya duduk di meja bersebelahan dengan saya, berpakaian biasa. Saya diberi arahan BPR supaya menyerahkan wang tersebut kepada Datuk Low. Beliau terima wang tunai tetapi memulang balik cek tersebut dan meminta saya tunaikannya dahulu.

"Selepas itu saya membuka cermin mata sebagai tanda isyarat yang wang itu telah diserahkan kepada Datuk Low dan pegawai BPR kemudiannya datang untuk ambil mereka (Datuk Low dan isteri)," katanya.

Perbicaran di hadapan Hakim Rosbiahanim Ariffin disambung esok. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 21 Julai 2017 3:00 PM

Nadzmi Adhwa Bolot Semua 'Job'

Jumaat, 21 Julai 2017 11:09 AM

Lagak Lelaki Ini Seperti…

Jumaat, 21 Julai 2017 9:00 AM

#akuStar: iR Radzi - Cinta Terakhir

Khamis, 20 Julai 2017 3:30 PM

Luahan Ezlynn Beraya Tanpa Zuriat

Khamis, 20 Julai 2017 12:30 PM

Diana Muntah, Mabuk Teruk - Zamarul

Rabu, 19 Julai 2017 5:00 PM

Sauk Jangan Tak Sauk...

Rabu, 19 Julai 2017 3:27 PM

Beraksi 'Ghairah'? OK Je Kalau...

Rabu, 19 Julai 2017 1:20 PM

Ulat Buku Naik Superbike

Kolumnis

iklan

Iklan