Pengarah Urusan Syarikat Didakwa Tawar Skim Yang Tidak Diiktiraf

Diterbitkan: Khamis, 18 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Dua eksekutif kanan sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menawarkan kepada orang ramai skim pelaburan "mengusahakan sarang burung" yang tidak diiktiraf oleh Pendaftar Syarikat.

Pengarah Urusan Syarikat Four Sea Hardware Sdn Bhd, Wong Sen Chiew, 54, didakwa di Mahkamah Sesyen berlainan di sini kerana melakukan kesalahan menawarkan skim pelaburan itu sedangkan tidak mempunyai sebarang Surat Ikatan Amanah oleh Pendaftar Syarikat.

Di Mahkamah Sesyen 2, Wong didakwa mengikut Seksyen 91(1) Akta Syarikat 1965 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 94(1)(a)akta yang sama, yang boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan turut dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Balqis Aini menetapkan 22 April untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Sesyen 1, Wong menghadapi pertuduhan kedua iaitu menawarkan kepada orang awam untuk membeli saham syarikat itu melalui satu skim yang dikenali sebagai "mengusahakan sarang burung" walhal sewaktu tawaran itu dibuat ia bukanlah perniagaan biasa yang menjalankan perniagaan jual-beli saham.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 363(5) Akta Syarikat 1965 yang boleh dipenjara 10 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Aslam Zainuddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan tarikh yang sama iaitu pada 22 April untuk sebutan semula.

Seorang pengarah syarikat yang sama, Kok Sai Hong, 35, pula didakwa bersubahat dengan Wong terhadap pertuduhan yang sama iaitu menawarkan untuk membeli kepentingan dalam syarikat itu.

Kok, yang masih bujang, didakwa mengikut Seksyen 91(1) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 94(1)(a) Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, Kok didakwa bersubahat dengan Wong sehingga menyebabkan orang ramai membeli saham melalui skim pelaburan itu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 363(5) Akta Syarikat 1965 yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda RM250,000 jika sabit kesalahan.

Hakim Aslam membenarkan Kok diikat jamin RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu dengan seorang penjamin dan pasportnya turut diserahkan kepada mahkamah.

Aslam menetapkan tarikh yang sama untuk sebutan kes dan mendengar permohonan untuk perbicaraan bersama bagi keempat-empat pertuduhan itu.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Mohd Zulkhairi Kamaruzaman dan mereka diwakili peguam S.Prakash yang menyebut bagi pihak Michael Piew. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan