Bekas Pengarah Siasatan Jenayah Komersil Bebas Tuduhan Rasuah

Diterbitkan: Jumaat, 12 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Ramli Yusuff dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada tuduhan gagal mengisytiharkan pemilikan saham dan juga kepentingannya dalam dua hartanah bernilai RM1.03 juta.

Dalam keputusannya, Hakim M. Gunalan, berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie berhubung ketiga-tiga tuduhan terhadap Ramli.

Ramli, 57, didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan 20,000 saham Telekom Malaysia Berhad dan 154,000 saham Permaju Industries Berhad selain kepentingannya dalam dua bangunan pejabat pada September 2007.

Seramai 35 saksi pendakwaan yang memberi keterangan termasuk dua adik perempuannya, Roslina dan Rohmah.

Sebaik mahkamah mengumumkan keputusan, Ramli yang berpakaian kot warna kelabu dan bersongkok, terus memeluk peguam-peguam, anggota keluarga dan rakan-rakannya.

Ramli memberitahu pemberita kemudian bahawa beliau hampir kehilangan segala-galanya termasuk kerjaya dan reputasinya.

"Saya tidak menerima gaji atau pencen sejak 2008. Saya perlu bina semula kehidupan saya.

"Saya kasihankan anak perempuan saya, adik-adik saya dan bapa saya kerana terpaksa turut melalui tempoh yang sukar ini," kata Ramli yang telah membuka sebuah firma guaman.

Ketua Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa memberitahu pemberita bahawa pihak pendakwaan akan membuat rayuan terhadap keputusan hari ini.

Gunalan dalam penghakimannya berkata bagi pertuduhan pertama dua bangunan pejabat adalah milik syarikat Bonus Circle Sdn Bhd di mana dua adik perempuan Ramli adalah pengarahnya.

Katanya adik-beradik itu mempunyai pemilikan yang sah ke atas harta tersebut dan memutuskan Ramli tidak mempunyai kepentingan di sisi undang-undang ke atas harta itu walaupun dia terbabit dalam pengurusan syarikat berkenaan.

Bagi tuduhan kedua gagal mengisytiharkan 154,000 saham Permaju Industries, Gunalan berkata Ramli telahpun melampirkan di dalam penyata akaun Alliance Investment Bank Berhad apabila dia mengisytiharkan hartanya kepada Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mana bakinya adalah RM5.57.

Hakim berkata Ramli telah menggunakan akaunnya untuk transaksi saham itu tetapi Ramli tidak tahu yang dia adalah pemilik saham tersebut.

Ketika perbicaraan, Ramli telah membuat laporan polis pada 17 Ogos tahun lepas dan membuat aduan dengan Suruhanjaya Sekuriti berhubung akaun depositori pusat (CDS) yang telah digunakan oleh orang lain untuk transaksi saham selepas remiser mendedahkan butiran akaun CDS Ramli.

Gunalan berkata berdasarkan keterangan remiser kesimpulan yang boleh dibuat ialah pihak ketiga mungkin telah membeli saham tersebut menggunakan akaun perdagangan Ramli.

Bagi tuduhan ketiga membabitkan saham Telekom, Gunalan berkata tiada pertikaian bahawa saham itu milik Ramli.

Katanya Ramli memiliki saham tersebut pada 19 Sept 2007, walaupun beliau membuat tempahan untuk membeli saham itu pada 13 Sept dan kerana itu dia tidak mengisytiharkan hasratnya untuk memiliki saham tersebut seperti mana notis yang dikeluarkan SPRM pada 17 Sept.

Pada 27 Julai 2009, Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu melepaskan dan membebaskan Ramli atas tuduhan mengarahkan penggunaan pesawat Cessna Caravan Polis Diraja Malaysia untuk kepentingan peribadinya.

Ramli didakwa mengeluarkan arahan untuk menggunakan pesawat itu untuk membawanya dan dua orang awam melakukan pengawasan dari udara terhadap dua lot di Ulu Tungku, Lahad Datu, di mana syarikat hartanahnya Kinsajaya Sdn Bhd mempunyai kepentingan, pada 15 Jun 2007.

Kes rayuan itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu 18 Mac ini.

Ramli diwakili peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, Datuk C. Vijaya Kumar dan Harvindirjit Singh. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan