Manohara, Ibu Diperintah Bayar RM6 Juta Kepada Tengku Fakhry

Diterbitkan: Khamis, 11 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Model Indonesia Manohara Odelia Pinot dan ibunya hari ini diperintah oleh Mahkamah Tinggi di sini membayar ganti rugi RM6 juta kepada suami Manohara, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra, dalam kes fitnah melibatkan tuntutan RM105 juta yang difailkan putera Sultan Kelantan itu terhadap mereka.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Noordura Mohamed Din membuat keputusan itu dalam kamar.

Peguam yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry, Mohd Haaziq Pillay memberitahu pemberita bahawa Noordura menetapkan RM2 juta sebagai ganti rui teruk, RM2 juta bagi ganti rugi teladan dan RM2 juta lagi bagi ganti rugi pampasan, selain faedah lapan peratus dari tarikh saman difailkan sehingga bayaran itu dilunaskan.

Beliau berkata mahkamah memutuskan jumlah ganti rugi itu selepas mengambil kira keadaan latar belakang kes itu, kedudukan tinggi Tengku Muhammad Fakhry dan tahap dakwaan yang serius yang dibuat oleh Manohara dan ibunya Daisy Fajarina terhadap putera diraja Kelantan itu.

Dalam saman yang difailkan pada 20 Julai 2009, Tengku Muhammad Fakhry mendakwa kedua-dua wanita itu telah secara palsu dan jahat memfitnah beliau apabila mereka mendakwa pada satu sidang akhbar antara April dan Jun 2009 bahawa Manohara telah didera.

Pada 5 November 2009, beliau memperoleh perintah ingkar terhadap Manohara dan Daisy setelah mereka gagal melantik peguam bela baru bagi kes berkenaan selepas peguam mereka menarik diri daripada mewakili mereka.

Sebelum itu mahkamah pada 29 Oktober 2009 memberi mereka tempoh sehingga 5 Nov 2009 untuk melantik peguam bela baru atau menghadapi risiko perintah ingkar dikenakan terhadap mereka.

Pada 14 Januari tahun ini, Tengku Muhammad Fakhry memberi keterangan di mahkamah untuk menentukan jumlah ganti rugi yang wajar diberikan kepadanya dalam saman itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan