Jurujual Kereta Terpakai Dipenjara Sehari, Denda RM6,000 Rasuah Polis

Diterbitkan: Selasa, 9 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang jurujual kereta terpakai dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM6,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memberi rasuah RM150 kepada seorang anggota polis lima tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Mat Ghani Abdullah memberi tempoh sehingga tengah hari esok kepada R.Kamalanathan, 32, untuk membayar denda itu berikutan prosiding kes itu dijalankan sebelah petang.

Kamalanathan didakwa memberi suapan itu kerana bimbang kehilangan kerja sebagai dorongan untuk melepaskannya daripada ditahan kerana melakukan pencerobohan rumah.

Tertuduh didakwa memberi suapan wang tunai RM150 kepada Sarjan Beljeet Singh yang ketika kejadian bertugas sebagai sarjan aktiviti di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, kira-kira pukul 4.45 pagi pada 10 November 2005 dan didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan.

Peguam bela tertuduh, A.Gunaseharan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya merupakan pesalah pertama dan menghidap penyakit asma.

Beliau berkata, Kamalanathan juga terdesak memberi RM150 kepada anggota polis itu kerana bimbang kehilangan pekerjaan berikutan dia adalah penanggung tunggal keluarganya.

Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Zakiah Che Man berkata, alasan tertuduh yang bimbang kehilangan pekerjaannya bukan satu faktor mitigasi yang kukuh kerana kesalahan rasuah dipandang serius dalam masyarakat walaupun nilai yang terlibat adalah kecil.

Justeru, beliau memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan denda bagi memberi isyarat yang jelas kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan yang sama. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan