Saksi: Kugan Mati Akibat Sembap Bahagian Paru-Paru

Diterbitkan: Khamis, 25 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang pakar perunding kanan Patalogi dan Forensik hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa kematian A.Kugan dalam lokap Jan tahun lepas adalah berpunca daripada "Pulmonary Oedema" atau mengalami sembap di bahagian paru-paru akibat reaksi kecederaan luar anggota badan mangsa.

Abdul Karim Tajuddin, 61, yang bertugas di bahagian perubatan forensik, Hospital Serdang, berkata hasil pemeriksaan yang dilakukan dengan mengambil dua potong tisu paru-paru menunjukan bahagian sebelah kirinya penuh dengan air.

"Dalam bedah siasat itu, saya dapati paru-paru kanan dan kiri milik mangsa sembap yang mana ia dipenuhi air yang berpunca daripada reaksi tubuh mangsa yang dicederakan.

"Ia dipanggil oedema dalam paru-paru, yang mana air yang memenuhi kawasan paru-paru datang daripada tubuh badan mangsa sendiri akibat tekanan selepas dipukul," katanya.

Abdul Karim berkata hasil daripada bedah siasat itu beliau berpendapat kebanyakan kesan luka dan lebam di seluruh anggota badan Kugan terutama di bahagian belakang badan disebabkan pukulan daripada objek tumpul yang fleksibel seperti hos getah.

Katanya sepanjang pemeriksaan beliau mendapati terdapat lebih kurang 22 kesan luka di bahagian luaran terutama lebam di bahagian betis, peha dan tulang rusuk, dinding perut dan belakang bahu kanan manakala terdapat juga kesan calar pada bahagian bahu kiri dan lengan serta di tengkuk mangsa.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abas sama ada kesan-kesan kecederaan itu boleh mengancam nyawa mangsa, Abdul Karim menjelaskan ia boleh memberi kesan terhadap bahagian dalaman seperti paru-paru, buah pinggang, jantung dan sebagainya.

Beliau berkata rasa sakit yang kuat dihadapi Kugan boleh mengancam pusat saraf sehingga menyebabkan renjatan walaupun ia tidak secara langsung.

Dalam prosiding itu juga, Abdul Karim turut melakukan demonstrasi bagaimana cara pukulan dibuat oleh seseorang dengan cara berdiri di depan mangsa manakala mangsa dalam keadaan posisi badannya lebih rendah daripada pemukul.

"Kesan luka dan kecederaan itu wujud disebabkan pukulan seseorang atau kemungkinan lebih dengan menggunakan hos getah. Masa pukulan adalah berbeza-beza kerana ada kesan luka yang sudah sembuh dan ada masih baru. Cara pukulan mungkin bertalu-talu tetapi tidak mengambil masa terlalu lama dan ia mengikut tahap kekuatan pemukul itu," katanya.

Abdul Karim merupakan saksi pendakwaan kelapan memberi keterangan dalam kes kematian Kugan yang mati dalam tahanan polis selepas ditahan pada 15 Jan tahun lepas kerana disyaki terlibat dalam kes curi kereta.

Tertuduh dalam perbicaraan kes itu, Konstabel V. Navindran, 28, mengaku tidak bersalah pada 1 Okt lalu terhadap pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Kugan, 23.

Navindran yang diwakili peguam bela, Datuk P.M. Nagarajan, didakwa melakukannya di bilik soal siasat pejabat D9, di Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya, pada 7 pagi, 16 Jan tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, Navindran didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Ketika ditanya Hakim Aslam Zainuddin adakah sama dengan penyakit "Pnuemonia", Abdul Karim menjelaskan ia berbeza kerana penyakit itu merupakan jangkitan kuman.

"Dalam kes ini tiada kuman ditemui. Hanya ada air "membanjiri" atau memenuhi ruang pernafasan dalam paru-parunya yang menyebabkan mangsa seperti 'lemas'," katanya.

Ketika bedah siasat dilakukan, selain pegawai penyiasat kes berkenaan, dua pembantu perubatan hospital turut bersama pegawai perubatan yang mewakili keluarga mangsa.

Abdul Karim juga memberitahu mahkamah berdasarkan kepada gambar yang ditanda sebagai eksibit, Kugan mengalami banyak kecederaan termasuk lebam dipergelangan tangan kanan dan kiri berkemungkinan besar akibat digari berulang kali.

"Hasil pemeriksaan itu juga mendapati kesan lebam itu juga menyebabkan mengelupas, cedera dan lebam. Kesan itu turut terdapat di bahagian pergelangan kaki kanan dan kiri yang berkemungkinan juga akibat digari.

"Saya percaya mangsa digari semasa dipukul. Ini juga kerana mangsa banyak melawan dan bergerak, kesan dari itu menyebabkan tangannya bengkak. Jika masa disoal siasat tidak digari, maka kesan lebam dan cedera tidak akan wujud," katanya.

Perbicaraan bersambung 18 Mac depan. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Kolumnis

iklan

Iklan