Bekas Pengarah Didenda RM300,000 Sedia Penyata Palsu Pada Bursa

Diterbitkan: Khamis, 25 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang bekas Pengarah Urusan dan seorang bekas Ketua Pegawai Kewangan sebuah syarikat awam, masing-masing dikenakan denda RM300,000 atau penjara dua tahun jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mereka mengaku bersalah terhadap tuduhan menyediakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia.

Ooi Boon Leong, 49, dan Tan Yeow Teck, 49, mengakui mereka memberikan kuasa untuk mengemukakan pernyataan kewangan palsu bagi tahun berakhir 31 Julai, 2007 kepada Bursa Malaysia Securities Berhad berhubung hal ehwal Mems Technology Berhad.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Bursa Malaysia, Exchange Square, Bukit Kewangan pada 27 Sept, 2007.

Mereka memohon dibicarakan pada April tahun lepas tetapi menukar pengakuan kepada bersalah hari ini. Kesalahan itu membawa hukuman denda maksimum RM3 juta atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwaan Suruhanjaya Sekuriti Shanti Geoffrey memberitahu mahkamah bahawa meskipun mereka mengaku bersalah, mahkamah harus mengambil kira perlakuan mereka telah menjejaskan usaha-usaha kerajaan untuk memastikan pasaran saham kekal kukuh dengan integriti tinggi.

Beliau berkata kedua-dua mereka adalah akauntan berkelayakan dan berpengetahuan dalam hal ehwal kewangan serta memahami perakaunan.

"Tindakan ini bukan suatu perkara yang dilakukan dalam sekelip mata. Kedua-dua mereka telah merancang bukan sahaja mengelirukan para pemegang saham syarikat tetapi juga pelabur berpotensi," katanya.

Beliau berkata kes itu melibatkan syarikat awam dan dan apa jua pernyataan kewangan yang disediakan oleh setiap syarikat mestilah tepat kerana ia bertanggungjawab terhadap para pemegang saham mereka.

Shanti juga memberitahu Hakim Asmadi Attan bahawa Ooi merupakan pemegang saham Mems yang besar, dan beliau secara langsung memegang 38,291,488 saham biasa pada harga RM0.10 sesaham, menjadikan beliau secara langsung pemegang saham terbesar.

Peguam bela Ng Aik Guan, dalam rayuan untuk meringankan hukuman berkata Ooi telah hilang banyak peluang-peluang perniagaan kerana tindakan SC terhadapnya manakala Tan masih menganggur sejak dia dihadapkan ke mahkamah.

Beliau memohon mahkamah tidak mengenakan hukuman penjagaan tetapi hukuman denda memandangkan Bursa Malaysia telah mengenakan denda sebanyak RM89,000 terhadap Ooi dan RM197,500 kepada Tan.

Kedua-dua mereka membayar denda berkenaan. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan