Penuntut Warga Iraq Didakwa Memandu Secara Berbahaya Sebabkan Kematian

Diterbitkan: Jumaat, 19 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NIBONG TEBAL: Seorang penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) warga Iraq didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memandu kenderaan secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian penuntut universiti sama, Fadilah Abdul Halim, 27, Khamis lepas.

Menurut kertas pertuduhan, Hamood Sheehab Hamid, 45, didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran lampu isyarat pintu masuk utama USM, Jalan Transkrian pada kira-kira pukul 9.45 pagi.

Hamood yang sedang mengikuti kursus Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Elektronik itu didakwa memandu secara melulu dan merbahaya tanpa mengendahkan keadaan dan kesibukan jalan ketika itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh tidak faham Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Majistret Mohd Izham Ali mengarahkan passport tertuduh ditahan dan menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin, masing-masing warga tempatan dan warga asing.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri dan Hamood diwakili peguam Badrul Hisham Abdullah.

Mahkamah menetapkan 23 Mac ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan