Mahkamah Tinggi Tolak Saman RM1 Juta Terhadap Mawi World

Diterbitkan: Jumaat, 19 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Syarikat minuman Yassa Sdn Bhd gagal dalam tuntutan saman RM1 juta yang difailkan terhadap Mawi World Sdn Bhd selepas Mahkamah Tinggi menolak saman itu atas alasan ia tidak berasas.

Hakim Datuk Azahar Mohamed berkata Yassa sebagai plaintif dalam kes ini tidak menunjukkan keterangan mengenai kerugian dialami hasil penggunaan butiran maklumat lesen Yassa yang digunakan oleh Mawi World bagi pengeluaran air mineral berjenama "Mawi World".

"Dengan alasan-alasan itu, saya tidak ada pilihan lain, tetapi untuk menolak tuntutan plaintif dengan kos," katanya.

Pada 31 Okt, 2006, Yassa menyaman Mawi World kerana mendakwa ia melanggar hak harta Yassa dengan memasarkan air galian berjenama "Mawi World", menggunakan butiran maklumat milik syarikat itu seperti lesen pengeluaran minuman air mineral dan alamat kilang minuman pada botol minuman tanpa memperoleh kebenaran syarikat itu.

Ia juga mendakwa botol minuman air galian yang menggunakan gambar penyanyi Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 29, mengandungi maklumat mengenai sumber dan kandungan yang sama dengan air mineral jenama "Streamline" keluaran Yassa.

Mawi World selaku defendan, dalam pernyataan pembelaan berkata syarikat itu tidak pernah melanggar mana-mana hak harta sebagaimana didakwa syarikat Yassa.

Dalam keputusannya, Hakim Azhar berkata mahkamah menerima keterangan saksi defendan kedua, Ahmad Rathi Mohd Mohyodin, bekas pengurus syarikat Johtaw Corporation iaitu syarikat yang dilantik Mawi World untuk mengeluarkan dan membekalkan air mineral berjenama "Mawi World" bahawa syarikat Johtaw diberi kebenaran menggunakan butiran maklumat lesen yang dipegang Yassa pada botol air mineral "Mawi World" itu.

Hakim Azhar berkata mengikut keterangan Ahmad Rathi yang ketika itu berurusan dengan pengurus Yassa, arwah Bahari Othman bahawa dia (Ahmad Rathi) mendapat kebenaran menggunakan butiran maklumat itu oleh arwah Bahari bagi pihak Yassa.

"Berdasarkan keterangan saksi defendan kedua, saya tidak nampak alasan untuk menolak keterangannya," katanya.

Hakim Azahar berkata dalam hujahan hari ini peguam Adnan Seman yang mewakili Yassa berasaskan kepada "tort of conversion" iaitu melanggar atau menggunakan hak milik orang lain, tetapi Adnan tidak menggunakan autoriti yang jelas bagi menyokong sama ada butiran maklumat lesen yang dipegang Yassa itu adalah hak harta Yassa.

Beliau berkata dalam satu kes undang-undang yang diputuskan mahkamah di negara ini yang dirujuk oleh peguam Adnan, maklumat sulit seseorang itu ialah hak hartanya tetapi dalam kes ini butiran maklumat dan lesen yang dipegang Yassa bukan sulit kerana lesen boleh ditarik bila-bila masa jika berlaku percanggahan.

Lesen pengeluaran air mineral itu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Hakim Azhar membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Terdahulu, Adnan dalam hujahannya berkata kesan daripada penggunaan butiran maklumat lesen oleh pihak ketiga tanpa kebenaran akan menyebabkan pemegang lesen mengalami kesusahan, antaranya jika berlaku keracunan dalam air mineral itu, lesen akan ditarik.

Semasa diminta Hakim Azhar mengemukakan bukti seperti penyata akaun, jumlah keuntungan bagi menyokong jumlah gantirugi RM1 juta yang dituntut Yassa, Adnan berkata kerugian Yassa tidak dialami secara terus tetapi hasil penggunaan butiran maklumat di lesen itu menyebabkan pihak Mawi World mendapat keuntungan dengan cara salah.

Hakim Azhar meminta penjelasan Adnan sama ada Yassa mengetahui keuntungan yang diperoleh oleh Mawi World hasil daripada penjualan air mineral jenama "Mawi World" itu, Adnan berkata mengikut rekod syarikat Johtaw, Mawi World ada membuat tempahan air mineral minimum sebanyak 300 kotak.

"Ambil kira jumlah tempahan minimum itu dan promosi yang dibuat Mawi World itu, membuatkan kerugian pada plaintif," katanya.

Peguam Juliana Mohamed, yang mewakili Mawi World, berhujah bahawa butiran maklumat pada lesen adalah maklumat awam dan ia tidak boleh dimiliki.

Beliau berkata tidak wujud perlanggaran hak harta kerana keterangan daripada Ahmad Rathi membuktikan bahawa Yassa membenarkan Johtaw menggunakan butiran maklumat pada lesen yang dipegang Yassa bagi mengeluarkan air mineral "Mawi World".

Perbicaraan kes itu mengambil masa sehari iaitu pada Rabu, dengan memanggil tiga saksi.

Pengarah Yassa, Muhammad Nizam Bahari, yang mengambil alih perniagaan syarikat Yassa selepas kematian bapanya Bahari, pada 22 Okt 2006, merupakan saksi tunggal plantif dan saksi pertama memberi keterangan.

Kemudian diikuti keterangan daripada Mohd Azhar Arifin, saksi defendan pertama, iaitu pegawai pemasaran di Mawi World yang bertanggungjawab mencari peluang bagi mengembangkan perniagaan Mawi World. Ahmad Rathi adalah saksi defendan kedua.

Ketika ditemui selepas keputusan itu, Adnan berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan