Tuduhan Terhadap Anwar Bukan Menindas: Mahkamah Rayuan

Diterbitkan: Rabu, 17 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Tuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah lengkap selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan itu hari ini.

Mahkamah Rayuan mendapati pertuduhan itu adalah lengkap, tidak berniat jahat dan bukan penyalahgunaan proses mahkamah.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Wira Abu Samah Nordin, yang bersidang bersama Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Azhar @ Izhar Ma'ah.

Kuorom itu menafikan permohonan lisan Anwar untuk penangguhan perbicaraan sementara menunggu penyelesaian rayuan keputusan hari ini di Mahkamah Persekutuan.

Peguam Anwar, Karpal Singh berkata, notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan dan permohonan penangguhan rasmi akan difailkan esok.

Mahkamah Rayuan menerima hujahan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden bahawa laporan perubatan di mana Anwar bergantung untuk menyokong permohonan membatalkan pertuduhan terhadapnya itu tidak menyakinkan.

Anwar, 63, telah memohon tuduhan liwat terhadapnya dibatalkan atas dasar penemuan dalam laporan perubatan tiga doktor Hospital Kuala Lumpur, yang menyatakan tiada hasil klinikal yang tepat menunjukkan berlakunya penetrasi.

"Laporan perubatan bukan satu-satunya bukti terhadap Anwar. Ia hanya keterangan sokongan mengenai apa yang hendak disampaikan oleh doktor," kata Abu Samah dalam penghakimannya.

Katanya, afidavit pendakwaan telah menyatakan bahawa mereka akan bergantung kepada keterangan secara lisan dan keterangan forensik bagi membuktikan kes terhadap Anwar.

Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), sedang dibicarakan terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24, di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun 2008.

Perbicaraan ditangguh sementara menunggu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah esok sama ada dia mahu menarik diri daripada mendengar kes itu.

Mengenai permohonan lisan untuk penangguhan perbicaraan, Abu Samah berkata, permohonan itu tidak dilakukan dengan sempurna kerana tidak ada permohonan rasmi di hadapan panel.

Terdahulu itu, Karpal memohon secara lisan untuk penangguhan perbicaraan dengan menyatakan Anwar perlu diberi peluang untuk menggunakan semua hak di bawah undang-undang.

"Kenapa terburu-buru. Dalam kes ini banyak halangan diletakkan di hadapan kami, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan," katanya.

Karpal berkata, jika penangguhan tidak diberikan maka perbicaraan itu tidak akan bermakna sekiranya Anwar berjaya dalam rayuan terakhirnya terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, Mohd Yusof berkata, permohonan penangguhan secara rasmi perlu difailkan. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan