Mawi World Guna Harta Intelek Syarikat Tanpa Kebenaran: Saksi

Diterbitkan: Rabu, 17 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengarah syarikat minuman Yassa Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Mawi World Sdn Bhd telah menggunakan harta intelek syarikat itu iaitu lesen pengeluaran minuman air mineral dan alamat kilang minuman pada botol minuman tanpa kebenaran Yassa.

Muhammad Nizam Bahari, 41, berkata, Mawi World menganggap harta itu sebagai miliknya dan membuat keuntungan daripada penggunaannya.

Muhammad Nizam berkata, pihak Yassa beberapa kali menghubungi Mawi World mahu pun wakilnya dan mengarahkannya atau mana-mana ejennya menghentikan serta-merta penggunaan harta milik Yassa pada botol minuman itu tetapi Mawi World gagal berbuat demikian.

Pada 31 Oktober 2006, Yassa, selaku plaintif memfailkan saman mendakwa Mawi World telah melanggar hak harta intelek dengan memasarkan air galian di bawah jenama "Mawi World", menggunakan kandungan maklumat milik syarikat itu seperti lesen pengeluaran minuman air mineral dan alamat kilang minuman pada botol minuman tanpa memperoleh kebenaran syarikat itu.

Ia juga mendakwa botol minuman air galian yang menggunakan gambar penyanyi Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 29, mengandungi maklumat mengenai sumber dan kandungan yang sama dengan air mineral jenama "Streamline" keluaran Yassa.

Mawi World dalam pernyataan pembelaan berkata, syarikat itu tidak pernah melanggar mana-mana harta intelek sebagaimana yang didakwa syarikat Yassa itu.

Muhammad Nizam, saksi tunggal plaintif memberitahu mahkamah bahawa beliau tahu mengenai penggunaaan harta itu oleh Mawi World selepas melihat air mineral jenama Mawi World dijual di sebuah pasar raya di Subang Jaya pada 30 September 2006.

Dalam pernyataan saksinya, Muhammad Nizam berkata, beliau mendapati maklumat seperti lesen, alamat kilang sama dengan alamat syarikat Yassa dan menggunakan maklumat kandungan yang sama dengan syarikat itu.

Beliau kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Seremban pada 2 Oktober 2006, kerana pengunaan maklumat-maklumat harta milik syarikat Yassa.

Muhammad Nizam berkata, Mawi World juga membuat promosi besar-besaran bagi penjualan minuman itu dan majlis pelancaran minuman itu disiarkan di akhbar-akhbar tempatan.

Beliau berkata, pihak Yassa telah mengadakan mesyuarat dengan pengurus Mawi World pada 3 Oktober 2006 bagi membincangkan penggunaan harta intelek itu dan pihak Mawi World mengaku tidak memperoleh sebarang kebenaran daripada Yassa, sebaliknya mendakwa Mawi World memperoleh minuman itu daripada Syarikat Johtaw Corporation (M) Sdn Bhd iaitu syarikat yang mengedarkan air mineral kepada pekedai.

Beliau yang mengambil alih perniagaan syarikat Yassa selepas kematian bapanya, Bahari Othman pada 22 Oktober 2006 itu berkata, selepas tiada jalan penyelesaian, pihaknya mengeluarkan notis tuntutan menuntut Mawi World membayar ganti rugi RM1 juta serta menghentikan serta-merta segala bentuk pengunaan dan pelanggaran harta Yassa.

Bagaimanapun, Mawi World bersetuju untuk memberikan ganti rugi dengan jumlah yang tidak dipersetujui oleh Yassa dan masih meneruskan penjualan air minuman itu di pasaran.

Muhammad Nizam yang diwakili Peguam Adnan Seman itu berkata, akibat daripada penggunaan maklumat dan harta milik Yassa oleh Mawi World, Yassa telah kehilangan hasil pendapatan pada setiap penjualan unit air minuman itu.

Ketika disoal balas oleh Peguam Juliana Mohamed yang mewakili Mawi World, Muhammad Nizam bersetuju bahawa syarikat Yassa adalah pemegang lesen pengeluar air minuman itu dan bukannya pemilik lesen.

Katanya, beliau ada mendaftar lesen air minuman itu yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kepada harta intelek tetapi tidak ingat kategori mana.

Muhammad Nizam juga berkata, beliau tidak tahu kategori harta intelek yang mana Mawi World telah membuat pelanggaran tetapi menjelaskan Mawi World telah menggunakan lesen pengeluaran minuman air mineral, alamat kilang minuman dan maklumat sama dengan syarikat itu di botol minuman Mawi World.

Beliau berkata, Yassa tidak mempunyai hubungan perniagaan dengan Mawi World dan tidak pernah membuat sebarang perjanjian dengan Mawi World.

Bagaimanapun, beliau tidak setuju dengan cadangan Juliana sekiranya tiada sebarang penjanjian antara Yassa dengan Mawi World, tidak terdapat sebarang kewajipan kepada Mawi World untuk berjaga-jaga dengan harta intelek itu.

Ketika ditanya Juliana, mengapa beliau tidak memohon perintah injunksi bagi menghalang Mawi World dari terus menjual air minuman itu selepas tahu Mawi World telah melanggar hak harta inteleknya, Muhammad Nizam berkata, beliau tidak berbuat demikian.

Sementara itu, saksi defendan kedua, bekas Pengurus Syarikat Johtaw Corporation, Ahmad Rathi Mohd Mohyodin, memberitahu mahkamah bahawa Johtaw mempunyai hubungan perniagaan dengan Yassa bagi perniagaan air mineral selama dua tahun dan sepanjang tempoh itu tiada perjanjian bertulis dibuat.

Ahmad Rathi, 34, berkata, selama dua tahun dia berurusan dengan ayah Muhammad Nizam iaitu, Allahyarham Bahari.

Beliau berkata, Mawi World telah melantik syarikat Johtaw untuk mengeluarkan dan membekalkan air mineral jenama Mawi World tetapi pada sekitar Sept 2006, Yassa melalui Bahari tidak dapat memenuhi pesanan air mineral itu kerana mempunyai masalah dengan mesin penapis air.

Ahmad Rathi berkata, disebabkan tarikh pelancaran air mineral Mawi World telah ditetapkan, beliau tidak boleh menangguhkannya dan berusaha mendapatkan sumber air yang lain bagi memenuhi pesanan bakalan untuk majlis pelancaran itu.

Beliau berkata, memandangkan syarikat Johtaw akan menanggung perbelanjaan tambahan untuk mencetak label baru, beliau telah memohon kebenaran Bahari untuk menggunakan label yang sedia ada dan Bahari membenarkannya.

Katanya, Bahari tahu air mineral Mawi World telah menggunakan sumber air lain memandangkan Yassa tidak dapat memenuhi pesanan syarikat Johtaw.

Ahmad Rathi berkata, selepas beberapa hari pelancaran air mineral Mawi World, wakil dari Mawi World, Mohd Azhar Arifin meminta syarikat Johtaw menarik balik air mineral yang terdapat di pasaran.

Beliau berkata, pihaknya menarik balik air mineral Mawi World di pasar raya pada 1 November 2006.

Terdahulu, Mohd Azhar, saksi defendan pertama memberitahu mahkamah bahawa beliau merupakan pegawai pemasaran di Mawi World yang bertanggungjawab mencari peluang bagi mengembangkan perniagaan Mawi World.

Hakim Datuk Azahar Mohamed yang mendengar kes itu menetapkan Jumaat ini untuk hujahan selepas kedua-dua pihak selesai memanggil saksi masing-masing. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan