Empat Anggota Polis Dibebaskan Daripada Tuduhan Rasuah

Diterbitkan: Jumaat, 12 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Empat anggota polis, dua daripadanya berpangkat inspektor, dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan meminta dan menerima rasuah daripada dua ahli perniagaan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan pelacuran, empat tahun lalu.

Hakim Rosbiahanin Ariffin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Inspektor Mohd Al Azmin, 31, Inspektor Shahar Omar, 27, Lans Kpl Zulkipli Rashid, 49 dan Lans Kpl Che Wahab Che Hat, 52, dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Rosbiahanin turut menasihati mereka supaya tidak melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan maruah diri, keluarga dan juga jabatan polis tercalar akibat perbuatan itu.

"Nasib baik tidak selalu menyebelahi kita, dan sekarang peluang ini untuk kamu semua memperbaiki diri demi menjaga maruah diri, keluarga, dan yang penting jabatan kamu.

"Mahkamah melepaskan dan membebaskan kamu semua berdasarkan keterangan mahkamah dan jika kamu semua masih melakukan kesalahan yang sama, mahkamah akan pastikan kamu menerima hukuman yang lebih berat lagi," kata Rosbiahanin.

Bagi tuduhan pertama, mereka didakwa meminta RM8,000 daripada Oon Chew Siang dan Lee Eng Aun sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kedua-dua lelaki itu yang disyaki menjalankan kegiatan pelacuran melibatkan warganegara asing.

Untuk tuduhan kedua, mereka didakwa menerima RM6,650 daripada kedua-dua lelaki tersebut serta tiga wanita, Lin Rui Ping, Chen Sui Mei dan Liu Lan Rui, bagi tujuan yang sama.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kepong di sini, antara 11 malam 2 Mac dan 2 pagi 3 Mac 2006.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997, dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi.

Kesemua tertuduh, sebelum ini telah digantung kerja sejak Mac tahun 2006.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis dengan mengemukakan 16 saksi pendakwaan sepanjang prosiding itu.

Mohd dan Shahar diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Jamal Abas manakala Zukipli dan Che Wahab diwakili peguam Nor Azri Mohd Arif. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan