Wee Gagal Dapat Injunksi Terhadap Phang, Akhbar Berhubung Skandal PKFZ

Diterbitkan: Khamis, 11 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong hari ini gagal mendapatkan perintah injunksi interim bagi menghalang Tan Sri Robert Phang dan akhbar The Star daripada terus menerbitkan kenyataan fitnah mengaitkan beliau dengan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Hakim Mahkamah Tinggi Dr Prasad Sandosham Abraham menolak permohonan injunksi Wee dalam kamar selepas mendengar hujah daripada para peguam yang mewakili Wee dan Phang.

Pada 9 Februari, Wee memfailkan saman fitnah dengan menamakan Phang, seorang anggota jawatankuasa penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan akhbar harian berbahasa Inggeris itu sebagai defendan berhubung kenyataan yang diterbitkan antara 25 Disember 2005 dan 12 Januari 2010.

Dalam pernyataan tuntutannya, Wee yang juga Timbalan Menteri Pelajaran mendakwa, kenyataan itu difahamkan membawa makna bahawa beliau terlibat atau melakukan kesalahan rasuah dan/atau salahguna kuasa.

Selain permohonan injunksi, beliau juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan faedah lapan peratus setahun.

Phang, 71, yang juga seorang pengerusi sebuah yayasan jagaan sosial, hadir di mahkamah pada pukul 9 pagi.

Wee diwakili peguam Yap Boon Haw, Phang pula diwakili Peguam bela Gobind Singh Deo dan Ang Hean Leng manakala Yee Mei Ken dan Chai Siew Wan mewakili The Star.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Gobind berkata, mahkamah telah menetapkan 10 Mac bagi mendengar injunksi antara pihak.

Gobind berkata, beliau masih belum memfailkan pernyataan pembelaan kerana beliau hanya mendapat pernyataan dakwaan, semalam.

Katanya, hakim juga membenarkan perintah injunksi ex-parte dilepaskan yang diberikan kepada Wee pada 21 Januari menghalang Phang daripada mengadakan atau menganjurkan sidang akhbar pada 22 Januari 2010.

Pada 22 Januari, dalam sidang akhbarnya bagi menjawab satu cabaran yang dibuat Wee dihentikan selepas 20 minit apabila peguam Wee muncul dengan perintah injunksi ex-parte supaya sidang akhbar itu dihentikan.

Phang, ketika ditemui wartawan, melahirkan perasaan gembira kerana keputusan mahkamah hari ini sambil berkata bahawa badan kehakiman adalah adil.

Katanya, sebagai anggota penasihat SPRM, ia merupakan kewajipan statutori untuk mempelawa orang ramai untuk tampil memberikan bukti bagi membantu SPRM dan polis, dalam mana-mana siasatan. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan