Warga Emas Dipenjara Sembilan Tahun Sebabkan Kematian Isteri 'Curang'

Diterbitkan: Khamis, 11 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga emas dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana mencekik isterinya sehingga mati selepas melihat mangsa melakukan perkara sumbang dengan seorang lelaki warganegara Bangladesh, dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Badariah Sahamid memerintahkan tertuduh, K.Alagan, 60, pekerja ladang, yang mengaku bersalah terhadap tuduhan itu menjalani hukuman berkuatkuasa dari tarikh ditangkap pada 23 September 2008.

Alagan didakwa menyebabkan kematian S.Ellammal, 39, di belakang rumah No: 67A, Ladang Lima Belas, SKC Gedangsa, Hulu Selangor, antara pukul 2 pagi dan 7 pagi pada 23 September 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Fakta kes menyebut, kira-kira pukul 12 tengah malam pada hari kejadian, tertuduh dan mangsa tidur di ruang tamu rumah dan kira-kira pukul 2 pagi, tertuduh terjaga dan mendapati isterinya berada di luar rumah dengan seorang lelaki.

Pertengkaran mulut antara Alagan dan Ellammal berlaku di mana tertuduh telah menekup mulut isterinya dan mencekik mangsa menggunakan tangan sehingga mangsa terbaring di kaki lima bahagian belakang rumah.

Tertuduh yang menyangka mangsa hanya pengsan kemudian menyambung tidur dan apabila sedar tertuduh mendapati isterinya telah meninggal dunia.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baharu dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah akibat dicekik di bahagian leher.

Peguam Jagdish Kaur yang mewakili Alagan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan tertuduh bertindak sedemikian kerana melihat isterinya melakukan perkara sumbang dengan seorang lelaki warga Bangladesh.

"Ketika anak guam saya ternampak mereka, lelaki Bangladesh itu terus memakai seluarnya dan melarikan diri manakala isterinya berada di atas lantai tanpa memakai pakaian. Mereka kemudian bertengkar dan semasa pertengkaran itu isteri anak guam saya memarahi Alagan menyebabkan anak guam saya menekup mulut dan memegang leher isterinya untuk menyuruh dia diam," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang sewajarnya dengan mengambil kira keseriusan kes dan kepentingan awam.

"Walaupun mengaku bersalah, tidak bermakna hukuman yang dijatuhkan perlu diringankan. Perbuatan tertuduh tidak boleh dimaafkan kerana satu nyawa telah melayang iaitu isterinya sendiri yang sepatutnya dilindungi oleh suaminya," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan