Muntik Gagal Diselamatkan Kerana Terlalu Nazak

Diterbitkan: Khamis, 11 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa pembantu rumah warga negara Indonesia, Muntik Bani, yang didakwa dibunuh oleh majikannya, gagal diselamatkan kerana keadaannya sudah terlalu nazak dan keseluruhan sistem organnya tidak dapat dipulihkan walaupun dengan bantuan ubat-ubatan.

Saksi ke-40 pendakwaan, Dr Noraini Sangit, 39, yang merupakan pakar bius di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, berkata, tekanan darah Muntik juga rendah dan tidak stabil walaupun setelah diberikan ubat sokongan yang maksimum selain berlaku kegagalan sistem ginjal dan sistem respiratorinya yang dibantu dengan mesin bantuan pernafasan.

"Kira-kira pukul 9.30 pagi 26 Oktober 2009, denyutan pesakit (Muntik) semakin lemah dan berhenti berdenyut, kami segera memberikan bantuan kecemasan iaitu CPR (cardiopulmonary resuscitation) yang berterusan selama lebih 30 minit.

"Setelah saya berusaha lakukan CPR namun pesakit tidak menunjukkan sebarang tindak balas positif dan gagal diselamatkan. Saya sahkan pesakit meninggal dunia pada 10.10 pagi," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abdul Ghani pada perbicaraan kes penjual air tebu, A. Murugan, 35, yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Oktober tahun lepas. Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik, yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia pada 26 Oktober lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Saksi ke-41 pendakwaan, Dr Faezah Shaari berkata, Muntik dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) pada pukul 3 petang 21 Oktober kerana keadaannya tenat dan memerlukan pemerhatian rapi.

Dr Faezah, yang merupakan pakar bius di HTAR berkata, beliau memberi bantuan oksigen, menambah dos ubat untuk membantu menyokong tekanan darah dan memberi ubat penahan sakit jenis "morfin' kepada Muntik.

"Selepas saya tambah dos ubat saya tengok tekanan darah pesakit semakin baik dan selepas saya beri 'morfin' saya lihat Muntik kurang rasa sakit dan pada masa yang sama dia masih sedar," katanya.

Ketika disoal balas Peguam bela V.Rajehgopal sama ada pemberian 'morfin' boleh menyebabkan pesakit khayal, Dr Faezah berkata, ia bergantung kepada jumlah dos yang diberikan, dan berdasarkan kepada jumlah dos yang diberikan kepada Muntik, ia hanya menyebabkan mangsa rasa mengantuk.

Menceritakan mengenai perkembangan Muntik setelah dirawat di ICU, Dr Faezah berkata, keadaan wanita itu merosot pada 2 pagi 22 Oktober dan diberi bantuan pernafasan melalui mesin bantuan pernafasan.

"Keadaan pesakit terus merosot walaupun rawatan telah diberikan dan tekanan darahnya semakin rendah walaupun diberi empat jenis ubat 'inotropes' dengan dos maksimum. Akibatnya buah pinggang pesakit tidak berfungsi tetapi tekanan darah pesakit terlalu rendah untuk jalani dialisis.

"Pada 24 Oktober, pesakit menghadapi masalah denyutan jantung. Keadaan pesakit memang kritikal dan teruk. Kita cuba membantu selamatkan nyawa pesakit tetapi pesakit kelihatan tidak bertindak balas dengan rawatan yang diberi.

"Pada 26 Oktober jantung pesakit berhenti dan CPR telah dilakukan tetapi pesakit tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada pukul 10.10 pagi," katanya.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa disambung esok. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan