Karpal Singh Ditegur Kata Hakim Bohong

Diterbitkan: Rabu, 10 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Peguam Karpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat membabitkan ketua pembangkang itu, hari ini ditegur kerana menggunakan perkataan kasar terhadap Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang mengadili kes itu.

Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pihak pendakwaan dalam kes itu, berkata Karpal Singh bebas mengemukakan hujah tanpa perlu menghina hakim.

"Untuk mengatakan Yang Arif berbohong adalah terlalu kasar. Walaupun kita boleh berhujah sebaik manapun untuk anak guam kita, tetapi menggunakan perkataan kasar adalah tidak wajar.

"Kita boleh berbuat demikian dengan sopan dan beretika," katanya ketika berhujah semasa mahkamah mendengar permohonan pihak pembelaan supaya Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada kes itu kononnya kerana beliau berat sebelah.

Sebelum itu, Karpal Singh berkata bahawa oleh kerana Hakim Mohamad Zabidin tidak berterus terang kerana tidak merujuk Utusan Malaysia bagi kesalahan menghina mahkamah berhubung laporan yang dianggap palsu, pihak pembelaan melihat itu sebagai "satu pembohongan oleh Yang Arif".

Anwar, 63, yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pertuduhan adalah mengikut seksyen 377B Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Perbicaraan kes itu masuk hari keenam hari ini tetapi ditangguhkan bagi mendengar permohonan oleh pihak pembelaan itu.

Mohd Saiful, saksi pertama, sedang disoal dalam pemeriksaan balas.

Pada prosiding hari ini, Mohd Yusof berkata Hakim Mohamad Zabidin tidak perlu menarik diri kecuali jika ada perkara atau sebab semasa perbicaraan bahawa hakim itu bertindak berat sebelah. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan