Dua Mat Rempit Dihukum Penjara, Denda

Diterbitkan: Rabu, 3 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Dua lelaki yang mengaku menunggang motosikal secara berbahaya ala "mat rempit" masing-masing dihukum penjara lima dan enam bulan dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Khas Trafik di sini hari ini.

Mohd Fakhrullah Samsuddin, 22, dan Mohd Ramlan Mohd Nor, 20, masing-masing juga dikenakan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Majistret Nor Azizah Yusof juga memerintahkan agar lesen memandu kedua-dua tertuduh digantung selama dua tahun.

Beliau berkata, kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua tertuduh adalah serius dan mereka perlu dikenakan hukuman yang berat. Mohd Fakhrullah, seorang pencuci kereta dari Felda Chalok Barat, Bandar Permaisuri di sini, mengaku melakukan perbuatan itu pada 3.15 pagi 26 Januari 2008 di Jalan Tok Lam berhampiran Hotel Midtown.

Dia melakukan kesalahan itu dengan mengangkat tayar depan motosikal jenis Honda EX5 sejauh 10 meter sebanyak dua kali. Mohd Ramlan, seorang penggangur yang berasal dari Kampung Duyong Kechil di sini pula, melakukan kesalahan itu pada 2.10 pagi 11 April 2008 di Jalan Kamaruddin menghala ke Jalan Chabang Tiga dekat sini.

Tertuduh didapati melakukan perbuatan itu dengan mengangkat tayar depan serta melawan arus selain melanggar beberapa lampu isyarat di persimpangan Jalan Kamaruddin, Simpang Gong Kapas, Simpang Bukit Besar, Simpang Planetarium dan Simpang Hiliran Jejawi.

Pendakwaan dilakukan oleh Cif Inspektor Suriah Seleh manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan