Bekas Isteri Roslin Hashim Fail Semakan Semula Keputusan Mahkamah Tinggi

Diterbitkan: Rabu, 3 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas isteri pemain badminton negara, Roslin Hashim hari ini memfailkan permohonan semakan semula terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di sini yang menolak bantahan awalnya untuk mengetepikan tuntutan ganti rugi perkahwinan mereka sebanyak RM53,460.

Faizah Mohamad, 33, memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah melalui peguamnya Mohd Amir Nazli Hussin.

Dalam permohonan itu, Faizah menyatakan hakim yang mendengar bantahan awal itu telah melakukan kekhilafan dan berlaku unsur-unsur terlepas pandang kerana dilihat seperti dalam keadaan tergesa-gesa dan tanpa memperhalusi sewajarnya isu-isu yang dibangkitkan semasa mendengar bantahan awalnya.

"Saya menegaskan fokus utama permohonan semakan ini adalah bertujuan supaya mahkamah menyemak semula keputusan hakim terdahulu dengan berdasarkan isu sama ada Roslin mempunyai locus standi (kedudukan daripada segi undang-undang) dan merit serta hukum Syara' di atas tuntutan yang difailkan," kata Faizah.

Dalam permohonannya, Faizah berkata mahkamah juga tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan tuntutan Roslin mengikut Seksyen 46 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan 1993.

Faizah, dalam permohonannya itu juga berkata tindakan Roslin akan membudayakan tuntutan ganti rugi perkahwinan oleh suami terhadap bekas isteri dan prosiding seperti ini perlu dibendung.

"Tuntutan yang dibuat oleh Roslin itu akan mengaibkan, remeh dan menyusahkan saya selain ahli keluarganya yang lain.

"Saya yakin dan percaya bahawa semakan ini amat perlu dibenarkan kerana ia melibatkan persoalan undang-undang, persoalan hak, maruah pihak-pihak dan kepentingan awam yang mana kes ini mendapat liputan meluas pihak media," kata Faizah lagi.

Pada 25 Jan lepas, Hakim Syarie Mohd Radzi Abdul Latif menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh Faizah dan menetapkan kes itu dibicarakan pada 23 dan 24 Mac ini yang dijalankan secara tertutup.

Roslin, atau nama sebenarnya Muhammad Roslin Hashim, 34, memfailkan tuntutan ganti rugi perkahwinan terhadap Faizah pada 12 Ogos tahun lepas, setelah kedua-duanya bercerai 12 hari selepas bernikah pada 30 Januari 2009.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Roslin yang diwakili peguam Roslizam Rahim, menuntut pembayaran balik kos pembelian cincin, belanja urusan merisik dan pertunangan serta kos perbelanjaan perkahwinan termasuk sewa khemah, video, kasut pengantin, sewa hotel dan lain-lain. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan