Perbicaraan Kes Liwat Anwar Ditetapkan Mulai Petang Esok

Diterbitkan: Selasa, 2 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Datuk Seri Anwar Ibrahim melambai kepada para penyokongnya di luar mahkamah hari ini. - Foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT
Datuk Seri Anwar Ibrahim melambai kepada para penyokongnya di luar mahkamah hari ini. - Foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya akan bermula di Mahkamah Tinggi di sini petang esok, 18 bulan selepas Ketua Pembangkang itu didakwa meliwat bekas pembantunya.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah petang ini menetapkan perbicaraan bermula pada pukul 2.30 petang esok selepas beliau menolak permohonan Anwar bagi menangguhkan perbicaraan.

Hakim itu berkata tidak wujud keadaan yang istimewa dalam prosiding undang-undang untuk membenarkan Anwar menangguhkan perbicaraan.

Perbicaraan akan dimulakan pada petang esok kerana kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan akan menemui Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff pada sebelah pagi untuk mendapatkan tarikh awal permohonan Anwar bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas yang menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen tertentu daripada pihak pendakwaan bagi tujuan pembelaannya.

Peguam yang mewakili Anwar, Karpal Singh berkata kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan bersetuju menemui Hakim Alauddin untuk mendapatkan tarikh sebelum perbicaraan kes liwat itu.

Hakim Mohamad Zabidin berkata memandangkan kedua-dua pihak bersetuju dengan perkara itu, beliau tidak mempunyai pilihan selain menetapkan prosiding pada petang esok kerana beliau tidak mahu lagi menangguhkan perbicaraan itu.

Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pihak pendakwaan memberitahu wartawan bahawa pihaknya sudah bersedia untuk perbicaraan itu dan pihak pembelaan boleh mengeluarkan sapina kepada sesiapa sahaja dan terserah kepada hakim memutuskannya.

Ketika ditanya mengapa beliau bersetuju dengan permohonan pihak pembelaan bagi menangguhkan perbicaraan sementara menunggu pertemuan dengan Hakim Alauddin, Mohamed Yusof berkata ia bertujuan mempercepatkan perbicaraan dan pihak pendakwaan tidak mahu perbicaraan itu terganggu dengan permohonan Anwar bagi semakan.

Karpal, yang mengetuai pihak pembelaan, berhujah bahawa prosiding perbicaraan itu perlu ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan Anwar di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan untuk membatalkan tuduhan liwat terhadap beliau.

Mahkamah Rayuan belum menetapkan tarikh untuk tujuan itu.

Anwar, 63, yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Anggota Parlimen Permatang Pauh dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari, Azlan, 23, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 20 penjara dan sebat, jika sabit kesalahan.

Awal hari ini, Mohamad Zabidin menangguhkan perbicaraan bagi mendengar permohonan Anwar untuk menangguhkan perbicaraan kes liwat ke sebelah petang selapas Karpal Singh memohon penangguhan kerana baru pagi ini mereka memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas yang menolak permohonan Anwar untuk diberikan akses kepada dokumen daripada pihak pendakwaan untuk tujuan pembelaannya.

Dalam permohonan menangguhkan perbicaraan yang ditolak oleh Hakim Mohamad Zabidin, Karpal Singh menghujahkan bahawa tuduhan liwat itu mala fide (berniat jahat) dan melanggari proses mahkamah kerana laporan perubatan pertama oleh Hospital Pusrawi menyatakan bahawa Mohd Saiful memberitahu doktor bahawa dia mendakwa diserang di bahagian dubur pada mulanya dengan tusukan plasik.

Laporan perubatan mendedahkan Mohd Saidul mengadu kepada doktor bahawa dia mengalami sembelit selama seminggu.

Namun menurut laporan bertarikh 28 Jun, 2008, doktor tidak perasan sebarang pendarahan pada rektum dan selama seminggu tiada darah pada najis.

Karpal turut berhujah bahawa laporan perubatan daripada tiga doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang memeriksa Mohd Saiful menyatakan bahawa tiada penemuan klinikal yang konklusif yang mencadangkan berlaku kemasukan ke dalam dubur Mohd Saiful.

Beliau berkata jika laporan Pusrawi dan HKL merumuskan bahawa tiada berlaku kemasukan, atas dasar apakah dakwaan itu boleh dikemukakan kerana mengikut Seksyen 377B, elemen penting bagi membuktikan kes liwat ialah kemasukan.

Mohamed Yusof berhujah bahawa perkataan "plastik" dalam laporan perubatan Hospital Pusrawi hanya ditimbulkan dalam perbicaraan hari ini dan doktor terbabit perlu memberi keterangan dalam mahkamah mengenai perkara itu.

Beliau berkata perkataan itu mungkin dibaca secara salah oleh pihak pembelaan kerana laporan itu ditulis tangan.

Mohamed Yusof kemudiannya memberitahu pemberita pihak pendakwaan akan memanggil ahli kimia mengenai specimen bagi membuktikan kes pendakwaan.

Anwar, tiba di mahkamah pada pukul 9 pagi ditemani isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mahkamah dipenuhi oleh petugas media tempatan dan luar negara, anggota keluarga Anwar dan para penyokong serta orang ramai yang ingin mengikuti perbicaraan yang ditunggu-tunggu dan telah berulangkali ditangguhkan.

Turut hadir ialah bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim, bekas Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng.

Peguam Zamri Idrus bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Mohd Saiful.

Selepas prosiding ditangguhkan, pihak pembelaan yang terdiri daripada Karpal, Datuk Param Cumaraswamy, Datuk C.V. Prabakharan, S. N. Nair, Mohd Radzlan Jalaludin dan Marisa Regina Fernando bergegas ke Istana Kehakiman di Putrajaya untuk berjumpa dengan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi untuk mendapatkan tarikh awal bagi mendengar semakan itu.

Pihak pendakwaan yang diketuai Mohamed Yusof dan para Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, dan Noorin Badaruddin turut bergegas ke sana.

Bagaimanapun, mereka gagal bertemu sama ada Zaki atau Alauddin dan menurut Karpal Singh, beliau dimaklumkan bahawa Zaki menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur manakala Alauddin mempunyai temu janji perubatan.

Karpal Singh memberitahu wartawan di Putrajaya bahawa Alauddin semasa dihubunginya menerusi telefon bersetuju menemui kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan esok.

"Kami tidak mahu kelewatan tetapi pada satu keadaan kami mahu menggunakan semua remedi perundangan yang ada kepada Anwar.

Perbicaraan ini seharusnya tidak dipercepatkan. Beliau harus dibenarkan menggunakan semua tindakan undang-undang," kata Karpal Singh.

Pada permulaan prosiding hari ini, Karpal Singh memberitahu mahkamah bahawa beliau memfailkan permohonan semakan semula pada pukul 8.40 pagi ini menerusi Tetuan S.N.Nair and Partners di pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.

Karpal Singh berkata beliau akan mengemukakan permohonan bagi menangguhkan perbicaraan di hadapan Ketua Hakim Negara dan jika Zaki membuat keputusan, Mahkamah Tinggi perlu terikat kepada keputusan itu.

Bagi meyakinkan hakim, Karpal Singh meminta mahkamah membenarkan pihak pembelaan untuk menemui Ketua Hakim Negara bagi mendapatkan peluang terakhir untuk semakan kehakiman bagi membolehkan dokumen-dokumen utama bagi tujuan pembelaan.

"Keputusan oleh Mahkamah Persekutuan dilakukan pada 29 Jan. Pagi ini merupakan tarikh terawal yang membolehkan kami memfailkan permohonan semakan. Berilah kami peluang untuk menemui Tun Zaki dan kami akan kembali ke sini pada 2.30 petang," kata beliau.

Mohamed Yusof berkata pihak pendakwaan tiada bantahan terhadap permohonan pihak pembelaan.

Dalam permohonan semakan yang difailkan bersama afidavit beliau, Anwar menyatakan Mahkamah Persekutuan mempunyai kuasa untuk mendengar dan membuat semakan terhadap keputusannya mengikut Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan.

Dalam afidavit yang diperakui beliau, Anwar berkata hakim-hakim Mahkamah Persekutuan telah tersalah arah diri mereka secara serius apabila merujuk permohonan kes jenayah bagi mendapatkan dokumen.

Antara dokumen utama yang dikehendaki termasuk sampel spesimen DNA Mohd Saiful, rakaman kenyataan-kenyataan saksi daripada Mohd Saiful, nota pemeriksaan Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi, kenyataan oleh pemilik kondominium Hassanuddin Abdul Hamid, dan daripada tiga doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL), nota ahli kimia dan laporan perubatan serta rakamaan CCTV kondominium pada waktu kejadian.

Pada 29 Januari, panel Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdull Hamid Embong dan Datuk Md Raus Sharif, semasa menolak rayuan Anwar mendapatkan dokumen, memutuskan setiap tertuduh dilarang memiliki dokumen sebelum perbicaraan kerana ia mengandungi keterangan yang akan dibuktikan pihak pendakwaan pada perbicaraan kes. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan