Saksi Dakwa Keterangan Kepada SPRM Tak Tepat

Diterbitkan: Isnin, 1 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TEMERLOH: Kes rasuah membabitkan bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria dan ejennya, Halimi Kamaruzzaman membawa perkembangan baru hari ini apabila saksi pendakwaan mendakwa keterangan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini tidak tepat.

Datuk Khadri Musa, 47, yang merupakan saksi kesembilan pendakwaan ketika sesi soal balas mendakwa keterangan pada 20 Jan tahun lepas dibuat secara "cut and paste" (potong dan tampal) berdasarkan keterangan seorang lagi individu bernama Yusof Jamaludin.

Khadri yang juga Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Maran berkata, pegawai SPRM terbabit hanya menukarkan maklumat peribadinya di dalam keterangan itu.

Ketika ditanya peguam, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Mohamad Norza sama ada beliau menurunkan tandatangan pada kenyataan itu, Khadri mengesahkan menandatangi kenyataan itu.

Namun katanya beliau berbuat demikian kerana ingin cepat pulang ke rumah berikutan mempunyai urusan perniagaan di Putrajaya keesokannya.

Khadri: Tapi ia bukan tandatangan yang saya biasa gunakan.

Muhammad Shafee: Jelaskan kenapa Datuk tidak gunakan tandatangan biasa?.

Khadri: Saya khuatir maklumat itu tidak benar jadi tandatangan saya pun bukan yang benar.

Ketika ditanya Muhammad Shafee berhubung kenapa dia tidak membaca keterangan itu terlebih dahulu sebelum menandatanganinya, Khadri berkata dia tidak boleh membaca kerana tidak membawa kaca matanya pada masa itu.

Ditanya mengenai layanan pegawai SPRM terhadapnya, Khadri berkata seorang pegawai yang merakam percakapannya di pejabat SPRM Temerloh di sini bersikap lemah lembut, namun dua lagi pegawai suruhanjaya itu terlalu biadap sehingga menengkingnya.

Malah dakwanya, penduduk kampungnya di Sembai, Chenor turut memaklumkan kepadanya bahawa pegawai SPRM bertindak menunjukkan gari dan pistol ketika mengesan lokasi rumahnya sebelum beliau dibawa ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan.

Bagaimanapun kenyataan itu dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris yang berhujah kenyataan itu semata-mata "hear say" dan bantahan tersebut dibenarkan Hakim Azuar Che Yusof.

Terdahulu, Khadri ketika disoal Saiful memberitahu mahkamah bahawa beliau telah dijemput menghadiri satu majlis perjumpaan di rumah Mohammad Anuar Yunus di Temerloh pada 20 Jan tahun lepas yang turut dihadiri Mohamad Norza.

Ditanya mengenai intipati ucapan Mohamad Norza pada majlis itu, Khadri berkata ia mengenai hala tuju orang Melayu, peranan Pemuda Umno sebelum diteruskan dengan sesi soal jawab.

Bagaimanapun Khadri kemudian menyatakan Mohamad Norza ada meminta sokongan daripada perwakilan yang hadir untuk jawatan Anggota Majlis Tertinggi (MT) yang bakal diadakan, selepas ditunjukkan kenyataannya kepada SPRM sebelum ini.

Shafee bagaimanapun memohon mahkamah hanya mengambil kira kenyataan di dalam mahkamah berbanding keterangan sebelum ini.

Sementara itu, Khadri juga memberitahu mahkamah bahawa beliau telah dipanggil oleh sepupunya yang juga tertuduh kedua, Halimi yang memberikan lima sampul surat berwarna putih untuk diagihkan kepada empat lagi anggota Umno Maran di majlis itu.

Saiful: Setelah dapat, ada tengok isi kandungannya?

Khadri: Ada. Wang tunai RM300.

Saiful: Apa tujuan RM300 itu diberikan?

Khadri: Duit minyak.

Mohamad Norza, 43, yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri menerusi Halimi untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan untuk mengundinya memenangi jawatan MT pada Perhimpunan Agung UMNO lepas.

Beliau juga menghadapi satu lagi pertuduhan memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama.

Kedua-dua tuduhan itu didakwa dilakukan pada pukul 6.30 petang, 20 Jan 2009 di No. 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh, di sini.

Halimi, 47, dari Bandar Indera Mahkota, Kuantan pula didakwa atas dua tuduhan memberikan suapan itu kepada Khadri dan Mohammad Anuar bagi pihak Mohamad Norza pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Perbicaraan bersambung esok. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan