Dari RM1juta Kepada Hanya RM600,000 Selesai Kes Secara Baik

Diterbitkan: Isnin, 1 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Peguam syarie Azmi Mohd Rais dan Mohamad Fahizul Khairi. - Foto THE STAR oleh M. AZHAR ARIF
Peguam syarie Azmi Mohd Rais dan Mohamad Fahizul Khairi. - Foto THE STAR oleh M. AZHAR ARIF

SHAH ALAM: Dari tuntutan menghampiri RM1 juta akhirnya turun kepada RM600,000 sahaja...demikianlah seorang pengarah urusan yang menuntut ganti rugi daripada bekas tunangnya tiba-tiba bersetuju untuk menyelesaikan kes tersebut secara baik sehingga sanggup menerima pampasan yang lebih rendah.

Dalam kes yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini, peguam syarie Azmi Mohd Rais yang mewakili plantif Mohamad Fahizul Khairi, 54, memberitahu Hakim Syarie Mohammad Adib Husain di awal prosiding bahawa anak guamnya ingin menyelesaikan kes itu dengan defendan, Nor Daliya Mohd Daud, 35, secara baik berdasarkan terma-terma yang dipersetujui bersama.

Sehubungan itu, Azmi meminta mahkamah menangguhkan prosiding buat sementara waktu bagi membolehkan kedua-dua belah pihak berbincang di luar mahkamah.

Mohammad Adib kemudian menangguhkan kes itu selama setengah jam sebelum kedua-dua pihak mencapai kata sepakat.

Mohammad Fahizul yang berpakaian kemeja lengan panjang berwarna hijau muda hadir bersama bekas suami Nor Daliya, Herman Syah Abdul Rahim.

Manakala defendan mengikuti prosiding sambil ditemani suami baru dan ibunya.

Dia berbaju kurung putih dan bertudung hitam serta diwakili peguam syarie, Mohamad Isa Abd Ralip.

Sebaik perbicaraan disambung semula pada pukul 10.30 pagi, Azmi membacakan tujuh terma yang telah dipersetujui bersama sementara Mohamad Isa mengesahkannya di hadapan hakim.

Mohammad Adib turut mendapatkan pengesahan daripada kedua-dua pihak plaintif dan defendan sebelum memutuskan bahawa plaintif bersetuju menerima RM600,000 sebagai penyelesaian keseluruhan tuntutan itu.

Wang tersebut akan dibayar kepada peguam plaintif, Tetuan Zulkifli Yong Azmi & Co sebagai Pemegang Wang Pertaruhan dalam tempoh tujuh hari daripada tempoh penjualan hartanah sebuah rumah teres dua setengah tingkat yang beralamat di No. 67, Jalan BU 6/13, 47800 Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor atau jika hasil jualan itu melebihi RM600,000, peguam wang pertaruhan pembeli hartanah tersebut akan menyerahkan baki jualan hartanah tersebut kepada defendan.

Hakim Mohammad Adib juga memberi amaran kepada kedua-dua belah pihak termasuklah wakil dan agen masing-masing bahawa mereka ditegah daripada membuat gangguan antara satu sama lain dan keluarga serta rakan masing-masing selepas ini.

Katanya, plaintif akan menarik balik apa-apa perintah tegahan mahupun kaveat terhadap hartanah tersebut dalam tempoh tiga hari selepas perintah meterai mahkamah diperolehi.

Tambah Mohammad Adib lagi, kedua-dua belah pihak juga tidak akan memfitnah atau menghasut mana-mana pihak ketiga dalam kes hadanah (penjagaan anak) di Mahkamah Syariah antara defendan dengan bekas suaminya iaitu Herman Shah Abdul Rahim.

"Mana-mana pihak yang ingkar daripada mematuhi perintah mahkamah ini boleh diambil tindakan menghina mahkamah," kata Mohammad Adib.

Sementara itu, Mohamad Fahizul ketika ditemui di luar mahkamah berkata, dia bersyukur kes itu dapat diselesaikan.

Ketika ditanya kenapa dia sanggup menerima tuntutan yang lebih rendah dari tuntutan asal, peguam Fahizul sekadar berkata, anak guamnya tidak mahu kes ini berpanjangan kerana pihak defendan juga ada mengeluarkan wang untuk memiliki harta berkenaan.

Manakala Nor Daliya gagal ditemui pemberita kerana menggunakan pintu alternatif meninggalkan kamar mahkamah.

"Ini melibatkan maruah masing-masing. Jadi dia (Nor Daliya) tak nak cerita berpanjangan di luar mahkamah lagi kerana yang menang akan jadi arang, yang kalah akan jadi abu," kata Mohamad Isa, peguam kepada Nor Daliya.

Untuk rekod, dalam perkahwinannya dengan Herman, Daliya mempunyai dua orang anak iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. Mereka bercerai pada 9 Januari 2007.

Lebih kurang sebelas bulan selepas itu, iaitu pada 6 Disember, Daliya telah mengikat tali pertunangan dengan Fahizul di Pekan, Pahang.

Setelah kedua-dua plaintif dan defendan merancang untuk bertunang, pada April 2007, wanita itu telah meminta Mohamad Fahizul membeli sebuah rumah sebagai tempat tinggal mereka selepas berkahwin kelak.

Pada 3 April 2007, Fahizul membeli sebuah rumah jenis teres dua setengah tingkat di Bandar Utama, Petaling Jaya atas nama bakal isterinya itu untuk dijadikan tempat tinggal mereka bersama.

Dalam prosiding terdahulu pada 11 Disember 2009, Mohamad Fahizul menjelaskan, mereka sering bergaduh sepanjang tempoh pertunangan berpunca daripada sikap Nor Daliya yang curang dan melakukan perbuatan yang tidak bermoral.

Sehubungan dengan itu beliau memfailkan tuntutan ganti rugi kewangan akibat putus tunang dengan Nor Daliya, seorang pegawai bank, sebanyak RM871,186.57 di atas nilai rumah yang beliau belikan untuk Daliya, ganti rugi keaiban sebanyak RM100,000 selain meminta defendan melepaskan hasil jualan rumah itu kepadanya, kos guaman dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan