Tengku Fakhry Petra Gagal Cabar Keputusan Pemangku Raja Kelantan - Berita Mahkamah | mStar

Tengku Fakhry Petra Gagal Cabar Keputusan Pemangku Raja Kelantan

Diterbitkan: Jumaat, 29 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membuat keputusan bahawa tindakan Pemangku Sultan Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra menyingkirkannya adindanya Tengku Muhammad Fakhry Petra daripada Majlis Perajaan negeri itu tidak boleh disemak semula.

Hakim Mohamad Ariff Md Yusof berkata sebuah mahkamah undang-undang bukanlah forum yang sesuai bagi membuat keputusan mengenai isu membabitkan hak istimewa diraja kerana sebarang pertikaian perlu diselesaikan sendiri oleh Sultan Kelantan.

Tengku Muhammad Fakhry, yang juga Tengku Temenggong Kelantan, telah mencabar keputusan Tengku Muhammad Faris menyingkirkannya daripada Majlis Perajaan Kelantan pada 16 Sept tahun lepas.

Mengikut Perkara 5 Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan, majlis itu bertanggungjawab mengesahkan waris takhta dan menentukan sama ada terdapat kekosongan pada takhta disebabkan ketiadaan Sultan di negeri itu untuk tempoh lebih dari setahun.

Dalam penghakimannya hari ini, Hakim Mohamad Ariff memutuskan isu mengenai kedaulatan, hak dan kuasa diraja akan tetap dipelihara dan diakui oleh kedua-dua Persekutuan dan Perlembagaan Negeri.

"Artikel 62 Perlembagaan Kelantan menjelaskan sentimen sama di mana ia menyatakan prosiding di mahkamah tidak akan menjejaskan hak, kuasa diraja, bidang kuasa sultan dan kedaulatannya.

"Dengan jelas di sini kita membicarakan mengenai hak keistimewaan diraja yang tidak sesuai disemak semula oleh mahkamah ini," katanya.

Mengenai hujah yang dibangkitkan peguam Tengku Muhammad Fakhry bahawa Pemangku Raja itu tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan tugas sebagai Sultan apabila membatalkan pelantikan beliau sebagai anggota Majlis, dan dengan berbuat demikian telah berlaku satu rampasan kuasa oleh pihak berkuasa atau oleh Pemangku Raja, mahkamah itu berkata: "Tempoh "Yang Amat Mulia Diraja" dalam Perkara 4 Perlembagaan Kelantan adalah ditakrifkan untuk termasuk pengganti dan pendahulu untuk raja, yang dalam kes ini, Pemangku Raja."

Hakim Mohamad Ariff berkata Tengku Muhammad Faris, dilantik sebagai Pemangku Raja pada 2001 apabila Sultan Ismail Petra tidak berupaya akibat gering, Pemangku Raja boleh melaksanakan fungsi-fungsi Sultan tanpa had semasa tempoh tersebut.

Mahkamah ketika menolak permohonan semakan kehakiman itu juga memerintahkan Tengku Muhammad Fakhry untuk membayar kos kepada responden.

Tengku Muhammad Fakhry, 31, memfailkan permohonan untuk semakan pada 7 Dis tahun lepas, memohon perintah mahkamah supaya Tengku Muhammad Faris mengembalikan semula keanggotaan beliau dalam majlis berkenaan, dan perintah certiorari bagi membatalkan pelantikan lima lagi anggota majlis itu.

Tengku Muhammad Fakhry, putera ketiga Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra, menamakan Tengku Mahkota, Setiausaha Majlis Perajaan Negeri dan kerajaan Kelantan sebagai responden.

Lima lagi responden ialah Datuk Hashim Yusoff, Datuk Tengku Salwah Sultan Yahya Petra, Datuk Sukri Mohamed, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan Kol Dr Mohammad Razin Kamarulzaman.

Tengku Muhammad Fakhry diwakili peguam K.Shanmuga manakala Datuk Cecil Abraham mewakili responden dan Peguam Kanan Persekutuan Datin Azizah Nawawi mewakili kerajaan Kelantan. - BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 17 Julai 2018 6:18 PM

'Penyamun terbang' maut dalam kereta curi

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Kolumnis

iklan

Iklan