Dua Anggota Kastam Dan Penjawat Awam PTG Dituduh Rasuah Dalam Kes Seludup Pasir

Diterbitkan: Jumaat, 29 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Dua anggota Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan seorang penjawat awam Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas tuduhan menerima rasuah berhubung kegiatan penyeludupan pasir ke Singapura, tahun lepas.

Pembantu Penguasa Kastam, Syahrol Md Zain, 31, Penguasa Kastam, Kamarudin Ismail, 49, dan pekerja rendah awam gred R1 di pejabat Pengarah PTG, Johairi Ahmad, 41, masing-masing yang didakwa di kamar mahkamah berasingan.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan pertama, Syahrol, Pembantu Penguasa gred W17 di Bahagian Pencegahan, dituduh menerima suapan wang tunai berjumlah RM2,400, daripada Sendry Anak Ugi atau Ah Sim, 33, sebagai upah untuk tidak mengambil tindakan ke atas tiga buah lori bernombor pendaftaran JKK 8799, JKH 8199 dan WCH 1672 kerana menyeludup pasir ke Singapura.

Dia yang berasal dari Taman Pulai Emas, di sini, dituduh melakukan kesalahan itu di bilik 1252, Hotel The Zon, di sini, pada kira-kira pukul 1.15 tengah hari, 10 Julai lepas.

Bagi tuduhan kedua, dia dituduh menerima suapan wang tunai berjumlah RM3,200, juga daripada Sendry sebagai upah untuk tidak mengambil tindakan ke atas empat buah lori bernombor pendaftaran PDJ 2564, BER 2850, BEN 3291 dan WGT 1475 kerana menyeludup pasir ke republik itu, di Bar Trevi Lounge, Hotel Grand Blue Wave, di sini, kira-kira pukul 7.37 malam, 5 Ogos lepas.

Hakim Muhamad Jamil Husin menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 bagi kedua-dua tuduhan itu serta 9 Mac depan untuk sebutan semula.

Kamarudin, Penguasa KDRM di Bahagian Perkhidmatan Teknik, Menara Kastam Johor, pula dituduh menerima suapan wang tunai RM500 daripada Zacharias Kho, bagi mempercepat dan memudahkan permohonan penjenisan barangan yang dikemukakan Kho ke Bahagian Perkhidmatan Teknik, di Restoran Bindu Curry House, di sini, pada kira-kira pukul 6 petang, 23 Julai lepas.

Bagi tuduhan kedua, Kamarudin dituduh menerima suapan wang tunai RM500 daripada Kho, bagi tujuan yang sama, di restoran yang sama, pada kira-kira pukul 7 malam, 14 Ogos, lepas.

Bagi tuduhan ketiga, dia dituduh menerima suapan wang tunai RM2,500 daripada Kho bagi meluluskan permohonan penjenisan barangan dan pemberian nombor kod tarif bagi barangan yang dipohon Koh kepada Bahagian Perkhidmatan Teknik, di bilik 1302, Hotel Grand Blue Wave, di sini, kira-kira pukul 8 malam, 7 Sept, lepas.

Kamarudin yang diwakili peguam Khairul Aswat dibenar diikat jamin sebanyak RM5,000, bagi ketiga-tiga pertuduhan dan Hakim Salawati Djambari menetapkan 10, 11 dan 12 Mei tahun depan, untuk sebutan semula.

Sementara itu, Johairi, dituduh menerima suapan wang tunai RM800 daripada Sendry sebagai upah untuk tidak mengambil tindakan ke atas empat lori yang sama iaitu PDJ 2564, BER 2850, BEN 3291 dan WGT 1475 kerana menyeludup pasir ke Singapura di bilik 1005, Hotel Grand Blue Wave, kira-kira pukul 4.09 petang, 6 Ogos, lepas.

Hakim Aliman Musri membenarkan Johairi diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 26 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan terhadap Syahrol, Kamarudin dan Johairi itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Nurfazlin Hamdan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan